~~~PENUBUHAN BADAN PERSEFAHAMAN ANTARA AGAMA : IKIM WAJAR DIBERIKAN PERANAN

  • 17 Januari 2010, Ahad, Wangsa Maju
  • Saranan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, TPM bahawa perlunya membentuk satu mekanisme agar persefahaman antara agama dapat diwujudkan amatlah saya sokong. Beliau berpendapat bahawa sudah tiba masanya kerajaan memikirkan secara lebih serius mengenai inisiatif-inisiatif yang boleh mewujudkan persefahaman antara agama di negara ini. Beliau juga akan mendapatkan pedoman dari Perdana Menteri berhubung perkara ini.
  • Tan Sri Muhyiddin mencadangkan diwujudkan satu petugas khas yang bertanggungjawab mengendalikan isu-isu mengenai kefahaman antara agama.
  • Saya berpendapat ini adalah suatu inisiatif yang bernas dan sudah kena pada masa dan ketikanya. Dalam hal ehwal Islam sendiri, kita mempunyai pelbagai agensi yang bertanggungjawab dalam pentadbiran hal ehwal Islam namun apabila timbul isu-isu yang melangkau batasan hal ehwal orang Islam tetapi masih melibatkan agama Islam maka akan wujudnya kelompongan dalam menangani isu ini.
  • Justeru itu perlu diwujudkan satu mekanisme di mana hal-hal sensitif yang melibatkan isu agama mempunyai forumnya yang tersendiri. Ini kerana isu-isu begini tidak mampu diselesai menerusi mahkamah semata-mata, tetapi memerlukan perbincangan yang mendalam dengan mengambil kira aspek budaya dan politik.
  • Saya berpendapat INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) adalah salah satu pihak yang boleh diberikan peranan dalam menjayakan inisiatif ini. IKIM adalah sebuah badan Think Tank yang mempunyai prasarana yang lengkap yang mampu memainkan peranan sekiranya diberikan tanggungjawab. Apatah lagi ia dipengerusikan oleh YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri yang amat dihormati. IKIM adalah salah satu calon terbaik untuk menganggotai badan persefahaman antara agama ini.