. . . . . JADUAL KETAT DI INDIA

  • 20 Januari 2009, New Delhi, India.
  • Perdana Menteri telah selamat tiba dari Abu Dhabi untuk melakukan lawatan rasmi ke India selama lima hari dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala yang sememangnya telah sedia erat.
  • Sepertimana yang saya tulis semalam saya berada di sini atas tugasan rasmi iaitu mengiringi Perdana Menteri dan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengannya. Cuaca di sini agak sejuk dan berkabus.
  • Lawatan ke India ini merupakan persinggahan ketiga Perdana Menteri selepas lawatan ke Arab Saudi mulai 13 hingga 19 Januari lalu diikuti UAE pada 17 hingga 19 Januari. Perdana Menteri akan berada di New Delhi sehingga Khamis ini (21 Jan) sebelum ke Chennai hingga 23 Januari.
  • Dato Sri Najib akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Dr. Manmohan Singh, bagi membincangkan pelbagai isu dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangasa bagi kepentingan bersama.
  • Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan captains of Industry (peneraju industri India) serta menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang kerjasama.
  • Perdana Menteru juga akan meletakkan kalungan bunga di Memorial Mahatma Gandhi di Rajghat dan seterusnya melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden India, Pratibha Devisingh Patil.
  • Pada sebelah tengah hari, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-India bertemakan Hubungan Ekonomi Malaysia-India : Langkah ke Hadapan. Perdana Menteri juga akan mengunjungi Presiden Parti Kongres, Sonia Gandhi.
  • Hakikatnya Perdana Menteri, isteri dan rombongannya mempunyai jadual yang amat ketat sepanjang lawatan ini.
  • Sesungguhnya India adalah sebuah negara yang pelbagai warna. Ia adalah adunan modenisasi dan tradisi. Teknologi tinggi dan industri desa. Metropolis canggih dan kedaifan setinggan. Namun suatu yang pasti India telah muncul sebagai suatu kuasa ekonomi global yang semakin berpengaruh dan kita haruslah mengeksploitasi hubungan simbotik kita dengan India dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
  • Dispora India di Malaysia sewajarnya belajar apa yang ada di India, khususnya teknologinya dan membawanya ke Malaysia dan sekaligusnya menjadikan Malaysia sebagai hub pelaburan kepada korporat-korporat gergasi India. Tahukah anda bahawa orang yang paling kaya di Britain adalah Mittal seorang usahawan India yang menguasai industri keluli dan beliau berada dalam lingkungan lima terkaya di dunia. Begitu juga orang kedua paling kaya di Malaysia ialah T. Ananda Krishna. Justeru itu pandangan bahawa masyarakat India telah didiskriminasikan adalah tidak benar. Pokoknya kejayaan ada di mana-mana, namun ia perlu digarap dengan kreatif dan bekerja keras bukannya dengan alasan dan aduan.