. . . . .AGENSI-AGENSI PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA PERLU KREATIF DALAM PERSEKITARAN BARU

  • 27hb. Januari 2010, Wangsa Maju
  • Akhir-akhir ini banyak diperkatakan tentang nasib usahawan Bumiputera khususnya ekoran pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Telah 9 bulan sejak pemansuhannya maka suara-suara ketidakpuasan masih berkumandang dan menjadi semakin nyaring akhir-akhir ini.
  • Satu perkara yang perlu ditegaskan ialah Kerajaan akan melancarkan MODEL EKONOMI BARU MALAYSIA tidak lama lagi, mungkin akhir Februari akan datang. Model ini merupakan GRAND DESIGN di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam membawa ekonomi negara kita ke mercu yang lebih tinggi.
  • Justeru itu kita perlu menunggu dan melihat apakah MODEL ini kelak. Saya amat pasti para pemikir dan pakar-pakar ekonomi yang ditanggungjawabkan untuk merangka model ini pastinya memikirkan juga tentang untung nasib usahawan Bumiputera. Apa yang jelas kerangka lama yang diguna pakai sebelum ini sudah kurang keberkesanannya. Kita masih tidak mencapai tahap 30% ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara meskipun telah 40 tahun DEB berlalu. Justeru itu kita memerlukan pendekatan baru yang tidak melihat kepada paksi nasional lagi - tetapi berpaksikan kepada global.
  • Perlu dijelaskan bahawa SME Corp iaitu SMIDEC yang dijenamakan semula merupakan agensi yang telah diberi tanggungjawab menjadi agensi pusat dalam pembangunan usahawan Bumiputera. Ini bermakna agensi-agensi lain meskipun dari pelbagai kementerian lain perlu melapor kepada SME Corp. Perkara ini telah diputuskan semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri lagi.
  • Apa yang perlu sekarang ini ialah agensi-agensi yang dahulunya di bawah MECD perlu bersikap kreatif dan inovatif dalam mentransformasikan fungsi mereka dalam situasi baru. Pemansuhan MECD tidak membawa kepada pemansuhan agensi-agensi di bawahnya. Mereka masih wujud tetapi di tempatkan di bawah pengawasan baru. Mereka tidak perlu menunggu apa yang akan berlaku tetapi mengambil langkah pro-aktif mencadangkan apa yang perlu mereka lakukan. Apatah lagi kesemuanya agensi-agensi ini bukanlah baru dan dikendalikan oleh pegawai-pegawai bergred tinggi dan berpengalaman luas dan sewajarnya tidak bertindak seperti junior officer yang baru keluar dari universiti yang perlu di spoon-feed.