PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 1430 HIJRAH PADA 10 ZULHIJAH 1430 H BERSAMAAN 27 N0VEMBER 2009

Bismillahirrahmanirahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,

1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dalam keadaan aman, kesederhanaan dan penuh keberkatan. Aidiladha merupakan perayaan yang dirayakan umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Aidilfitri. Aidiladha disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, ia diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhjjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang sunat dilakukan pada 10,11,12 atau 13 Zulhijjah.

2. Ibadah korban pada zahirnya disunatkan ke atas kita yang berkemampuan ke atas haiwan seperti lembu, kambing dan sebagainya agar dagingnya dapat diagihkan kepada golongan fakir dan miskin yang tidak berkemampuan. Selain sembelihan korban, ada banyak lagi pengajaran korban di dalam Islam termasuk mengeluarkan zakat ke atas harta dan pendapatan mengikut kiraan tertentu agar kekayaan itu turut dikongsi dan dimanfaatkan bersama oleh golongan yang amat memerlukan.

3. Jelasnya, kerelaan berkorban menginfakkan harta kekayaan bagi membantu yang daif amat dituntut oleh Islam. Kita perlu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T dan sanggup berkorban untuk membantu yang miskin dan menginsafi nasib mereka yang lebih daif. Sebenarnya Islam menzahirkan satu masyarakat yang prihatin, penyayang dan saling menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit ataupun fahaman politik.

4. Sekarang ini kita menyaksikan beberapa negeri sedang dilanda banjir. Lebih menyedihkan, tatkala kita sedang meraikan Hari Raya Aidiladha, terdapat ramai umat Islam yang terpaksa meraikannya di pusat-pusat pemindahan.

5. Mereka terpaksa meraikannya dalam serba kekurangan dan kepayahan di sebalik rumah yang tenggelam dan digenangi air. Justeru, marilah kita zahirkan tanda pengorbanan kita dengan menghulurkan bantuan seadanya untuk meringankan beban saudara-saudara kita yang menjadi mangsa banjir.

6. Bantuan berupa barangan ataupun wang ringgit amat mereka perlukan apatah lagi setelah menyaksikan kemusnahan dan kerosakan harta benda mereka yang cukup menyayat hati. Oleh itu, di hari yang mulia ini, janganlah dibiarkan mereka bersendirian tanpa dibantu oleh sesiapa. Begitu juga dengan umat Islam yang lain yang turut berada dalam kesusahan. Perlu dibantu seadanya.

Saudara dan saudari sekalian,

7. Korban juga membawa definisi menyeru umatnya supaya sentiasa mengutuhkan perpaduan, mengelakkan perpecahan dan menjuarai keamanan agar nasib umat Islam sentiasa terbela dan martabat agama Islam itu sendiri akan terus terpelihara. Kita harus mengetepikan segala kepentingan diri demi kesejagatan dan kesejahteraan rakyat. Alhamdulillah, masyarakat Islam di negara kita dapat melakukan segala ibadah dalam keadaan aman dan sempurna. Inilah nikmat yang mungkin tidak dapat dirasai oleh masyarakat Islam negara lain.

8. Sememangnya, umat Islam di negara ini dihormati kerana kita merupakan masyarakat Islam yang progresif, berdisiplin, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi. Inilah satu lagi nikmat yang Allah S.W.T. anugerahkan kepada kita. Justeru, kita sewajarnya mengamalkan pendekatan yang bersifat Wasatiyah (Sederhana) dengan menghormati semua agama, bangsa dan kaum lain.

9. Bersamalah kita ketepikan perbezaan fahaman politik, bersedia korbankan kepentingan diri, buktikan keinsafan dan kesyukuran kita dengan bersatu hati dan meningkatkan martabat agama, memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan kita daripada pelbagai keturunan, agama dan bangsa. Sewajarnya sebagai seorang muslim, kita wajib menyempurnakan tugas, tanggungjawab serta patuh kepada ajaran Allah S.W.T dengan merapatkan saf, menyemai semangat kekitaan dan menginstitusikan keakraban silaturahim sesama insan.

10. Di hari yang mulia ini, jangan dilupai para jemaah haji kita yang sedang menyempurnakan ibadah rukun Islam yang kelima di tanah suci. Marilah kita berdoa kepada Allah S.W.T agar- jemaah haji kita di sana dapat menjalankan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur serta kembali ke tanah air dengan selamat. Semoga pengalaman mereka di tanah suci dapat kita manfaatkan untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.

11. Pengakhir kalam, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha ini bersama rakan kita dari pelbagai bangsa melalui semangat muhibbah. Inilah resipi perpaduan Satu Ummah di dalam Gagasan 1 Malaysia yang kita impikan.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA 1430

  • Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali dengan Hari Raya Haji dan juga dikenali dengan Hari Raya Korban maka UMNO Bahagian Wangsa Maju telah mengadakan majlis penyampaian baucer korban yang di adakan pada 26 November 2009 (Khamis) di Pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju di Danau Kota. Baucer ini diagihkan kepada setiap UMNO Cawangan.

KOBERA WANGSA MAJU AKAN DIAKTIFKAN

  • Koperasi Bela Rakyat Wangsa Maju yang diterajui oleh saya akan diaktifkan. KOBERA yang ditubuhkan untuk membantu rakyat khususnya meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah telah ditubuhkan pada awal tahun ini. KOBERA bukan hanya wujud di Parlimen Wangsa Maju tetapi juga semua kawasan parlimen di seluruh negara.
  • Sebagai langkah awal UMNO Bahagian Wangsa Maju dengan kerjasama KOBERA Wangsa Maju akan mengadakan seminar peluang-peluang niaga menerusi gerakan koperasi. Adalah diharapkan seminar ini akan membuka minda generasi muda khususnya tentang peluang-peluang niaga dan sumber mendapatkan pinjaman dan geran yang disediakan oleh kerajaan.
  • Langkah seterusnya KOBERA akan mengenal pasti beberapa idea projek yang boleh dibangunkan oleh KOBERA Wangsa Maju secara usaha sama dengan anggotanya.

NILAI SATU RINGGIT

  • Perlantikan Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor mendapat reaksi yang amat menarik dari Tun Dr. Mahathir.
  • Tun berkata,“If you want to bankrupt Selangor, I think that’s the best adviser. Of course, if you pay him one ringgit, you get one ringgit’s worth"
  • Kalau diimbas kembali, krisis kewangan yang melanda negara sekitar 90an menyaksikan banyak negara-negara dunia ketiga terpaksa melutut kepada International Monetary Fund (IMF). Anwar Ibrahim yang ketika itu Menteri Kewangan telah memperketatkan pengaliran kredit dari sektor perbankan yang menyebabkan banyak syarikat-syarikat gulung tikar lantaran ketiadaan sumber modal pusingan. Tindakan Anwar adalah atas nasihat IMF yang melihat Malaysia tidak berdaya mengurus ekonominya khususnya kewangan dengan betul. Justeru itu campur tangan IMF adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan negara.
  • Anwar Ibrahim dengan besar hati menerima IMF menjadi penasihat negara seperti mana British menjadi penasihat raja-raja Melayu ketika zaman penjajah. Walaupun era yang berbeza namun ia akan membawa kesan yang sama iaitu kedaulatan negara akan tergadai.
  • Walaubagaimanapun usaha Anwar Ibrahim untuk menggadai negara kepada IMF dapat dibendung lantaran tindakan drastik Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah menubuhkan dan memberkan kuasa pengurusan ekonomi kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan sekaligus menyekat tindak tanduk Anwar Ibrahim.
  • Sekiranya langkah itu tidak diambil maka Malaysia akan menerima nasib seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang masih berada pada tahap ketidakstabilan sosio-ekonomi yang berpanjangan meskipun krisis kewangan tersebut telah lama berlalu.
  • Akhirnya IMF sendiri mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah pro-aktif yang betul dalam menangani krisis tersebut.
  • Pada awal tahun ini dunia dikejutkan dengan krisis kewangan yang melanda seluruh dunia. Meskpun impaknya turut melanda negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun serta tidak ketinggalan negara-negara membangun namun Malaysia kelihatannya imun pada ledakan krisis tersebut. Impak ke atas negara tidaklah sampai ke tahap kronik. Tiada bank di Malaysia yang terpaksa di selamatkan.
  • Ini kerana Menteri Kewangan kita telah mengambil langkah yang betul ekoran dasar ekonomi dan kewangan kita yang berpaksikan indigineous formula atau formula yang dijana dari dalaman dan bukannya diimpot dari luar.
  • Hakikatnya Anwar Ibrahim bukanlah seorang pakar ekonomi untuk dinobatkan sebagai penasihat ekonomi. Memang benar untuk menjadi seorang menteri yang mentadbirkan ekonomi tidaklah semestinya seorang berkelulusan ekonomi. Hanya kebetulan saya menjadi Setiausaha Politik Menteri Kewangan dan berkelulusan Ekonomi dari Universiti Malaya. Namun banyak setiausaha politik kepada Menteri Kewangan sebelum ini yang tidak mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi mahupun perbankan atau kewangan. Namun begitu seseorang yang layak menjadi penasihat ekonomi mestilah seorang yang berjaya menerajui sektor berkaitan ekonomi dengan jayanya. Dalam hal ini Anwar Ibrahim tidak mempunyai kredensi tersebut.
  • Kejayaan ekonomi Malaysia adalah ekoran dasar-dasar revolusiner yang di perkenalkan oleh Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri yang menegaskan kita perlu menjadi sebuah negara maju menerusi Wawasan 2020.
  • Tun Dr. Mahathir melonjakkan transformasi negara dari sebuah negara yang berasaskan ekonomi komoditi kepada ekonomi yang berteraskan industri.
  • Tidak lama lagi, YAB Dato Sri Najib akan memperkenalkan MODEL EKONOMI BARU MALAYSIA. Model ini adalah suatu langkah ke hadapan dalam merealisasikan kita menjadi sebuah negara maju. Negara maju bermakna pendapatan per kapita rakyatnya adalah tinggi. Negara maju bermakna rakyat menikmati kualiti kehidupan yang setara dengan negara-negara maju yang lain.
  • Malangnya kerajaan Selangor seolah-olah toleh ke belakang dengan melantik Anwar Ibrahim sebagai penasihatnya. Hakikatnya Tan Sri Khalid Ibrahim tidak memerlukan nasihat ekonomi dari Anwar Ibrahim kerana kredensi Khalid sendiri sudah cukup. Hakikatnya Anwar adalah penasihat politik dan bukannya ekonomi. Anwar bakal menjadi Menteri Besar pertama manakala Khalid adalah Menteri Besar kedua.
  • Mungkin sebab itu Khalid merasakan Anwar hanya layak dibayar dengan RM1. Memetik ungkapan Dr. Mahathir itulah nilai yang sebenarnya harga nasihat-nasihat Anwar.

Minum Bersama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meluangkan masa bertemu ahli-ahli Parlimen termasuk daripada parti pembangkang. Keterbukaan Najib terserlah apabila beliau minum serta berbual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim biar pun Ketua Pembangkang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinannya banyak melakukan serangan peribadi dan tohmahan terhadap Perdana Menteri. Pertemuan dalam suasana mesra itu turut menarik perhatian ahli-ahli Parlimen yang lain

. . .KENALI DATO SRI NAJIB MELALUI INTERNET

  • Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk rakyat menyuarakan pandangan bahkan memberi peluang kepada semua pihak mengenali pemimpin nombor satu negara itu secara mendalam.
  • Hanya dengan klik ke alamat www.facebook.com/najibrazak, pengunjung boleh berkongsi maklumat peribadi Perdana Menteri yang jarang diketahui oleh masyarakat.
  • Dalam laman sosial itu, beliau mendedahkan pelbagai aktiviti yang dilakukan daripada menghadiri mesyuarat dan bekerja sehinggalah menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan kegemarannya Manchester United, makan ikan patin dan mengunjungi kedai buku.
  • Antara aktiviti beliau yang dipaparkan untuk tatapan pengunjung:
  • “Keluarga saya, membaca di Hatchards, London – sebuah kedai buku paling tua di United Kingdom (UK), bola sepak dan kemahiran Cristiano Ronaldo, golf dan Tiger Woods, menjamu selera di Lafite and Shook, bertemu orang baru, fotografi, berjalan dalam hutan dan kapal terbang.”
  • Dengan pengunjung laman Facebook, Dato Sri Najib turut berkongsi minatnya terhadap penyanyi dan muzik pilihan beliau seperti Ronan Keating - When You Say Nothing At All; Harry Belafonte - Jamaica Farewell dan Ben E. King - Save The Last Dance.
  • Dato Sri Najib turut menamakan filem-filem yang menjadi pilihannya iaitu Gladiator, A Few Good Men dan yang menampilkan aktor Denzel Washington termasuklah Deja Vu.
  • Saluran televisyen kegemaran beliau pula adalah CNN, History Channel, Discovery Channel dan National Geographic.
  • Perdana Menteri turut berkongsi dua petikan oleh Colin Powell yang menjadi kegemarannya iaitu “ambil serius mengenai kerja anda tapi jangan terlalu serius dengan diri anda” serta “jangan tergesa-gesa bertindak terhadap sesuatu perkara, ia kebiasaannya dilihat lebih baik pada hari berikutnya.”
  • Mengenai dirinya, Dato Sri Najib menulis: “Kehidupan saya sangat sibuk tetapi saya sukakannya. Pada masa lapang saya fokus kepada makan tengah hari bersama keluarga pada hari Ahad, menonton televisyen bersama anak-anak dan bercuti.
  • “Paling banyak mempengaruhi saya ialah arwah ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Razak. Tetapi saya mengagumi kemahiran pidato dan sikap tidak mudah mengalah Sir Winston Churchill, Nelson Mandela kerana pengorbanan beliau dan tidak pernah gentar dengan kesusahan dan John F. Kennedy.”
  • Sementara itu dalam laman blog www.1malaysia.com.my, Perdana Menteri teruja untuk memaklumkan mengenai penyertaannya dalam Facebook.
  • Katanya, sebagaimana blog 1Malaysia dan penyertaannya dalam Twitter, beliau akan menggunakan Facebook untuk menyampaikan pemikiran dan aktiviti kepada setiap lapisan rakyat.
  • “Di samping memaklumkan status terbaru, saya juga akan berkongsi pautan foto Flickr, video daripada You Tube dan maklumat berhubung kegemaran peribadi saya seperti masakan dan aktiviti masa lapang kegemaran saya.
  • “Silalah berkunjung ke laman Facebook saya bila-bila anda ada kelapangan, silalah berikan pandangan anda bagaimana saya boleh menjadikannya lebih baik lagi,” katanya