KALIMAH ALLAH: TANGANI DENGAN BERHEMAH

  • Sabtu 9 Januari 2010, Wangsa Maju
  • Serangan ke atas beberapa buah gereja termasuk sebuah di kawasan saya (Wangsa Maju) haruslah dikutuk kerana ia bukan budaya orang Melayu, bukan budaya orang Islam dan tentunya bukan budaya UMNO. Serangan itu adalah tindakan yang tidak Islamik dan hanya memburukkan imej agama Islam.
  • Pokoknya, penggunaan kekerasan bukanlah caranya. Penyelesaiannya adalah dengan cara berhemah yang berteraskan kepada lunas undang-undang. Kita boleh suarakan pendangan kita, kita boleh lemparkan pandangan kita, tetapi tidak dengan melemparkan sesuatu yang boleh membawa kemudaratan kepada orang lain. Langkah yang paling baik adalah dengan berdialog. Namun inilah yang tidak difahami oleh pihak yang membawa kes ini ke mahkamah tinggi. Mereka sewajarnya berdialog dengan semua pihak-pihak yang berkenaan terlebih dahulu dan mengambil pendekatan yang lebih berhemah.
  • Isu penggunaan kalimah ALLAH perlu ditangani secara proses keilmuan dan pendidikan. Rasulullah SAW sepanjang kepimpinannya sentiasa mengingatkan orang Islam agar menghormati agama lain dan tempat beribadah orang lain. Baginda mengarahkan agar tentera Muslim jangan merosakkan rumah ibadah agama lain dan orang-orang kafir yang berlindung di dalamnya jangan dikasari.
  • Kita juga patut taat kepada titah DYMM SPB Yang diPertuan Agong yang mahukan rakyat bertenang dan jangan bertindak di luar batasan. Kita jangan biarkan anasir-anasir subversif mengambil kesempatan dari isu ini untuk mewujudkan ketidakstabilan sosial dan politik.
  • Jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menuding jari ke arah UMNO dengan membuat tohmahan bahawa UMNO bertanggungjawab ke atas serangan tersebut. Mereka yang membuat tohmahan perlu diambil tindakan kerana kita TIDAK MAHU peristiwa 13 Mei berulang lagi.