PERTAHAHANKAN KALIMAH ALLAH ...HAKIKAT SEGALA HIJRAH

TAZKIRAH JUMAAT, 8 Jan 2010, Wangsa Maju
  • Kita sememangnya wajib bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan banyak kenikmatan kepada kita. Kenikmatan yang terbesar yang diberikan kepada kita, ialah nikmat Islam. Dan kewujudan kita sebagai orang yang beragama Islam. Sebab ramai orang yang diberi kenikmatan hidup, tetapi tidak mahu memeluk Islam. Peliknya mereka ingin pula 'bertuhankan' Allah, nama Tuhan bagi orang-orang Islam.
  • Bersempena dengan "Maal Hijrah" yang tidak baru berlalu maka saya mengambil kesempatan ini untuk mambawa kita mengingati peristiwa Hijrah baginda Rasulullah SAW?
  • Ketika berdakwah di Mekah, Rasulullah SAW telah melalui masa-masa yang sangat sulit. Terutama setelah RAsulullah SAW diperintahkan Allah untuk menyampaikan Islam secara terbuka kepada masyarakat Mekah setelah Allah menurunkan surah al-Hijr:94:
  • "Maka sampaikanlah secara terbuka apa yang diperintahkan kepada kamu, dan tentanglah orang-orang musyrik itu."
  • Setelah ayat ini turun, khususnya setelah Umar bin Khattab dan Hamzah bin Abdul Muthallib memeluk Islam, maka Rasulullah SAW memulakan dakwah secara terbuka. Baginda, kemudian melakukan tawaf mengelilingi Ka'bah, yang diikuti oleh para sahabat. Sejak itu, para sahabat dan pengikut baginda, termasuklah baginda sendiri, setiap hari menerima penyiksaan daripada penguasa Mekah dan orang-orang kafir Quraisy.
  • Pernah baginda sedang solat berhampiran Kaabah, leher baginda diikat oleh Uqbah bin Abi Mu'ait, sehingga baginda tidak dapat bernafas, sampai akhirnya baginda ditolong oleh Abu Bakar. Pada masa yang lain, apabila baginda sedang shalat, tengkuk leher baginda dipukul oleh Uqbah bin Mu'ait, sehingga baginda pengsan, dan akhirnya ditolong oleh Fatimah. Puteri baginda itu menangis, sedih, melihat nasib ayahanda tercintanya dianiaya oleh orang-orang kafir. Bukan baginda sahaja yang mengalami nasib buruk seperti itu, malahan keluarga Yasir telah disiksa, sehinggalah Sumayyah meninggal dunia sebagai syahidah pertama.
  • Setelah penganiayaan secara fizikal gagal menggoyahkan iman para sahabat maka orang-orang kafir itu telah merancang untuk mengasingkan baginda SAW dan para pengikutnya. Maka terjadilah rancangan jahat itu selama lebih kurang 3 tahun. Baginda dan para sahabat hidup di sebuah lembah dalam keadaan kekurangan makanan, pakaian, pekerjaan, rumah dan diusir dari Mekah. Dan setelah itulah, baginda meminta para sahabat untuk meninggalkan Mekah menuju ke Habbasyah (Ethiopia-Afrika) untuk mencari perlindungan kepada Raja Najasyi, dengan maksud untuk mempertahankan agama mereka dari serangan secara berterusan yang dilakukan oleh orang-orang kafir.
  • Baginda Rasulullah SAW dan beberapa sahabat masih terus tinggal di Mekah.Justeru menjadikan tindakan orang-orang kafir semakin biadab kepada baginda SAW. Sehingga baginda berfikir untuk mencari perlindungan, kerana dakwah Islam tidak mungkin lagi dapat disebarkan kepada orang-orang Mekah.
  • Baginda cuba berhijrah ke Taif, untuk mencari perlindungan kepada Bani Tsaqif, tetapi diusir dengan cara tidak sopan. Baginda dilempari dengan batu dan kotoran, sehingga tubuh baginda berlumuran darah dan kotor. Sehinggakan Zaid bin Haritsah menangis, melihatkan keadaan baginda yang sangat menyedihkan itu.
  • Baginda, mencuba untuk masuk kembali ke Mekah, meskipun baginda tahu bahawa baginda akan dibunuh, apabila berada disana. Maka, baginda berusaha mencari perlindungan kepada Mut'im bin Adi, salah seorang tokoh pemuda Mekah. Mut'im sanggup melindungi keselamatan baginda SAW dan dakwah baginda. Sejak itulah, baginda berada dalam perlindungan Mut'im bin Adi.
  • Sejak itu, baginda selalu mengunjungi kabilah-kabilah yang datang ke Mekah untuk menyampaikan dakwah Islam yang baginda bawa. Meskipun risikonya sudah jelas sekali bagi baginda, sebagaimana sumpah baginda: "Demi Allah, seandainya mereka boleh meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, aku tetap tidak akan meninggalkan urusan dakwah ini, sehingga ia dimenangkan Allah, atau aku dibinasakan dalam usaha untuk menuntutnya. "
  • Maka, baginda SAW, tetap tidak takut, dan terus-menerus berdakwah, meskipun pada masa itu tidak satu kabilah pun yang menerima. Pernah baginda menyampaikan dakwah ini kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, yang pada awalnya bersedia menerima seruan dakwah Rasulullah SAW, namun dengan syarat kepemimpinan baginda mestilah diserahkan kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, namun hal ini dijawab dengan tegas oleh baginda: "Sesungguhnya perkara (kekuasaan kepemimpinan) ini merupakan hak Allah, yang akan Dia serahkan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki."
  • Setelah jawapan itu disampaikan oleh Rasulullah, baginda terus diusir dari khemah kabilah Amru bin Sa'sa'ah. Allah bagaimanapun memberikan pertolongan dengan dipertemukannya baginda SAW. dengan orang-orang Aus dan Hazraj yang datang untuk menunaikan haji di Mekah. Maka, apabila mereka mendengarkan seruan Rasullah untuk beriman dengannya dan mereka terusnmenerimanya, dan setelah itulah terjadi Bai'at Aqabah I, yang dilakukan di bukit Aqabah. Dan ini merupakan titik awal perkembangan dakwah Rasulullah saw. yang pertama, sehinggalah dakwah Islam ini sampai ke Yasrib, (nama Madinah sebelum diubah oleh baginda SAW).
  • Setelah rombongan Aus dan Hazraj kembali ke Madinah, mereka meminta Nabi saw. untuk mengirimkan orang agar mengajarkan Islam kepada mereka di sana. Ketika itulah, baginda mengirim Mus'ab bin Umair. Salah seorang sahabat Rasulullah, yang sebelumnya merupakan pemuda yang kaya raya, tetapi lebih memilih hidup sederhana bersama Rasulullah. Mus'ab lah yang menyampaikan pelajaran Al-Qu'an kepada penduduk Madinah, sehingga beliau mendapat gelaran sebagai Muqriul Madinah.
  • Dan ternyatalah dakwah Islam yang disampaikan oleh Mus'ab dan orang-orang Aus dan Hazraj yang telah memeluk Islam telah berjaya mengubah pemikiran penduduk Madinah, sehinggalah semua orang memperkatakan tentang Islam. Akhirnya, bilangan orang yang menyertai Islam menjadi semakin ramai, sehingga mereka mula melaksanakan solat Jumaah yang pertama kalinya di sana.
  • Berita ramainya penduduk Madinah yang menyertai Islam ini telah menyenangkan hati Rasulullah saw. dan para sahabat yang masih menyertai baginda di Makkah. Dan untuk membuktikan kesanggupan Madinah smenjadi pusat pengembangan Islam, maka baginda meminta Mus'ab untuk mengirimkan mereka ke Mekah.
  • Maka, berangkatlah pada musim haji berikutnya, seramai 75 orang. 73 lelaki dan 3 perempuan. Mereka kemudian sampai di Mekah dan bertemu dengan Rasulullah lantas menyatakan sumpah setia yang dikenal dengan Bai'at Aqabah II. Bai'at ini juga dikenal sebagai sumpah setia untuk hidup dan mati demi Islam. Ia juga persetujuan penyerahan kekuasaan orang-orang Madinah kepada Nabi untuk menjadi Ketua Negara Islam. Dan inilah yang mendorong baginda untuk berhijrah ke Madinah.
  • Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah bukan untuk melarikan diri atau menyelamatkan diri dari ancaman orang-orang kafir. Tetapi untuk menegakkan Islam, sehingga Islam ini menjadi agama dan ideologi yang boleh disebarkan ke seluruh dunia, untuk menyelamatkan dunia daripada kehancuran. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. dalam surat At-Taubah: 33 /Al-Fath: 28 /As-Shaf: 9.
  • "Dialah Yang mengutus Rasul-Nya dengan (membawa) petunjuk dan agama yang haq, agar Dia memenangkan agamanya, keatas agama-agama yang lainnya."
  • Maka, tanpa hijrahnya Rasulullah ke Madinah, Islam tidak akan pernah sampai kepada kita di Malaysia. Sebab, tidak pernah wujud negara Islam yang menyebarkan dakwah ke seluruh dunia. Tetapi dengan hijrahnya baginda SAW ke Madinah maka negara Islam yang pertama kalinya berdiri tegak di Madinah, dan sejak itulah Islam disebarkan dengan dakwah dan jihad ke seluruh dunia. Sehinggalah Islam berkembang dengan cepatnya ke seluruh dunia, yang dimulakan dengan penaklukan wilayah Hejaz (622-632 M.) Wilayah Syam di taklukkan semasa Umar bin Khattab. Sehinggalah Islam masuk Eropah, setelah beberapa wilayahnya ditaklukkan pada tahun 696-705 M. pada masa Khilafah Ummayah. Pada masa yang sama, Islam juga telah sampai di Russia. Dan pada tahun 712, Islam telah sampai di Asia Tenggara.
  • Tetapi memandangkan pentingnya peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ini, maka sememangnya peristiwa ini bukan sekadar menjadi peringatan. Peristiwa Hijrah wajib dijadikan pelajaran, bahawa Islam menjadi agama kita, dan sampai kepada kita bukan merupakan peristiwa kecil, tetapi merupakan peristiwa besar. Kalau bukan kerana pengorbanan Rasul dan para sahabat pastilah Islam ini tidak akan sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang sanggup hidup dan mati demi Islam ini, tentulah Islam ini tidak sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang rela mengorbankan harta, keluarga dan nyawa mereka, pastinya Islam tidak akan wujud hingga ke hari ini.
  • Dan oleh itu, kita semua berhutang kepada mereka. Dan kita tidak dapat membayarnya, sebab mereka bukan meminta ganjaran daripada kita. Mereka menegakkan Islam dengan seluruh pengorbanan mereka, kerana mereka telah menjual diri mereka kepada Allah, dengan seluruh jiwa, harta dan semua yang mereka korbankan itu telah dibeli oleh Allah dengan syurga-Nya.
  • "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman itu, diri dan harta mereka, bahawa mereka akan diberi (imbalan) syurga." (Q.s. At-Taubah: 111).
  • Ketika ini Islam telah kehilangan generasi terbaiknya yang sanggup menjual diri, harta dan nyawanya kepada Allah. Inilah yang menyebabkan hilangnya cahaya petunjuk Islam, setelah runtuhnya Khilafah Islamiyah, Turki Othmaniyah, pada 3 Mac 1924. Selepas itu umat muslimin berterusan mengalami musibah di seluruh pelusuk dunia.
  • Islam ketika ini memerlukan generasi yang sanggup mengorbankan diri, harta serta nyawa mereka untuk menegakkannya. Kerana tanpa pengorbanan, Islam mustahil kembali bangkit semula. Maka, semuanya terpulang kepada keimanan dan ketaqwaan kita semua. Tetapi yang wajib diyakini, bahawa syurga dan neraka itu adalah abadi. Syurga merupakan puncak kenikmatan yang tidak diberikan secara percuma oleh Allah kepada manusia. Kerana itu, semakin tinggi pengorbanan kita, maka semakin besar kenikmatan kita di akhirat kelak. Semoga kita termasuk diantara orang-orang yang sanggup berkorban demi mempertahankan kalimah Allah. Kita tidak perlu berperang tetapi cukup sekadar bersuara dengan lantang.