. . . .KREATIVITI & INOVASI: MENJUAL IDEA DAN MENJADI ORANG YANG PALING KAYA DI DUNIA

  • 28 Januari 2010, Wangsa Maju
  • YAB Perdana Menteri malam tadi melancarkan inisiatif Malaysia Inovatif 2010 ke arah mewujudkan masyarakat kreatif dan berinovatif bagi memperkasakan negara. Perdana Menteri juga mencadangannya penubuhan Pusat Inovasi Negara.
  • Kebanyakan dari kita mengaitkan kreativiti dengan kesenian dan teknologi. Kerana di situlah elemen kreativiti terserlah dan dapat dinikmati oleh masyarakat. Hakikatnya kreativiti bukanlah suatu industri yang tersendiri, ia wujud di mana-mana dan pada semua sektor.
  • Kreatif merupakan suatu perlakuan minda. Ia lahir dari proses minda dan diadun dengan penghasilan. Penghasilan inilah menjadikan ia kreatif. Ini bermakna kreativiti adalah penciptaan sesuatu yang baru. Sesuatu yang tinggal hanya di dalam minda tetapi tidak dizahirkan maka itu bukanlah kreativiti namanya.
  • Inovasi pula mengolah apa yang telah tercipta dan menjadikan ia berguna. Inovasi menjadikan kreativiti 'hidup'. Contohnya di dalam dunia ini banyak teknologi baru dihasilkan setiap tahun, tetapi hanya segelintir sahaja yang dapat dikomersilkan. Pengkormesilan inilah yang dinamakan inovatif. Justeru itu kreativiti dan inovatif sentiasa ditampilkan seiringan, ibarat kembar siam yang saling lengkap melengkapi.
  • Untuk menjadi sebuah negara maju kita haruslah menjadi sebuah negara yang masyarakatnya kreatif dan berinovasi. Ada negara yang kaya dengan hasil bumi tetapi miskin, manakala ada negara yang tiada sumber asli tetapi boleh menjadi kaya. Keadaan sedemikan berlaku kerana negara yang tiada sumber asli menggunakan modal intelektual dan modal insan sebagai sumber memacu ekonomi negara. Modal intelektual dan modal insan ini adalah khazanah yang tidak akan pupus, produknya ialah daya kreativiti dan inovatif dalam cara menghasilkan teknologi baru, menghasilkan sistem pengurusan baru, menghasilkan strategi pemasaran baru dan sekaligus menjana pendapatan tinggi.
  • Siapakah orang yang paling kaya di dunia? Jawapannya Bill Gates. Bill Gates tidak menjual komputer (hardware). Tetapi dia menjual perisian yang menggerakkan komputer. 9 dari 10 komputer di dunia ini menggunakan perisian windows yang dicipta oleh Microsoft, syarikatnya. Apakah perisian? Ia boleh disimpan di dalam disket, dalam thumb drive, boleh dihantar melalui e-mail. Pokoknya ia wujud dalam keadaan maya. Ia bukan suatu barang. Ia adalah suatu idea yang dihasilkan dalam bentuk maya.
  • Ini bermakna Bill Gates menjadi orang yang paling kaya di dunia dengan hanya menjual idea. Beliau menanggung kos Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) hanya sekali sahaja namun kemudiannya dapat membuat salinan berbillion-billion kali dan menjualnya ke seluruh dunia dan kini memenopoli perisian global.
  • Kekayaan Bill Gates menewaskan Raja-raja Arab yang memiliki negara termasuklah setiap titisan petroliam yang keluar dari telaga-telaga minyak mereka. Bill Gates menewaskan mereka hanya dengan menjual idea yang lahir dari aktiviti kreatif dan inovatif. Dengan lain perkataan modal Bill Gates adalah berfikir dan menghasilkan sesuatu daripadanya. Justeru itu untuk menjadi sebuah negara yang maju YAB Perdana Menteri bakal menghasilkan MODEL EKONOMI BARU. Model ekonomi ini terlekat label kreativiti dan inovatif di setiap patah perkataannya.

. . . . .AGENSI-AGENSI PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA PERLU KREATIF DALAM PERSEKITARAN BARU

  • 27hb. Januari 2010, Wangsa Maju
  • Akhir-akhir ini banyak diperkatakan tentang nasib usahawan Bumiputera khususnya ekoran pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Telah 9 bulan sejak pemansuhannya maka suara-suara ketidakpuasan masih berkumandang dan menjadi semakin nyaring akhir-akhir ini.
  • Satu perkara yang perlu ditegaskan ialah Kerajaan akan melancarkan MODEL EKONOMI BARU MALAYSIA tidak lama lagi, mungkin akhir Februari akan datang. Model ini merupakan GRAND DESIGN di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam membawa ekonomi negara kita ke mercu yang lebih tinggi.
  • Justeru itu kita perlu menunggu dan melihat apakah MODEL ini kelak. Saya amat pasti para pemikir dan pakar-pakar ekonomi yang ditanggungjawabkan untuk merangka model ini pastinya memikirkan juga tentang untung nasib usahawan Bumiputera. Apa yang jelas kerangka lama yang diguna pakai sebelum ini sudah kurang keberkesanannya. Kita masih tidak mencapai tahap 30% ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara meskipun telah 40 tahun DEB berlalu. Justeru itu kita memerlukan pendekatan baru yang tidak melihat kepada paksi nasional lagi - tetapi berpaksikan kepada global.
  • Perlu dijelaskan bahawa SME Corp iaitu SMIDEC yang dijenamakan semula merupakan agensi yang telah diberi tanggungjawab menjadi agensi pusat dalam pembangunan usahawan Bumiputera. Ini bermakna agensi-agensi lain meskipun dari pelbagai kementerian lain perlu melapor kepada SME Corp. Perkara ini telah diputuskan semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri lagi.
  • Apa yang perlu sekarang ini ialah agensi-agensi yang dahulunya di bawah MECD perlu bersikap kreatif dan inovatif dalam mentransformasikan fungsi mereka dalam situasi baru. Pemansuhan MECD tidak membawa kepada pemansuhan agensi-agensi di bawahnya. Mereka masih wujud tetapi di tempatkan di bawah pengawasan baru. Mereka tidak perlu menunggu apa yang akan berlaku tetapi mengambil langkah pro-aktif mencadangkan apa yang perlu mereka lakukan. Apatah lagi kesemuanya agensi-agensi ini bukanlah baru dan dikendalikan oleh pegawai-pegawai bergred tinggi dan berpengalaman luas dan sewajarnya tidak bertindak seperti junior officer yang baru keluar dari universiti yang perlu di spoon-feed.

LAGI GAMBAR-GAMBAR LAWATAN KE INDIA

  • 23 Januari 2010, India
  • Sekali lagi saya paparkan gambar-gambar terbaru lawatan PM ke India.
  • 22 JANUARI 2010, NEW DELHI & CHENNAI
  • Sepanjang berada di India dalam mengikuti lawatan rombongan YAB Perdana Menteri saya sempat download beberapa gambar yang diambil oleh jurugambar-jurugambar yang turut sama mengikuti lawatan ini. Saksikanlah gambar-gambar tersebut

. . . . . JADUAL KETAT DI INDIA

  • 20 Januari 2009, New Delhi, India.
  • Perdana Menteri telah selamat tiba dari Abu Dhabi untuk melakukan lawatan rasmi ke India selama lima hari dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala yang sememangnya telah sedia erat.
  • Sepertimana yang saya tulis semalam saya berada di sini atas tugasan rasmi iaitu mengiringi Perdana Menteri dan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengannya. Cuaca di sini agak sejuk dan berkabus.
  • Lawatan ke India ini merupakan persinggahan ketiga Perdana Menteri selepas lawatan ke Arab Saudi mulai 13 hingga 19 Januari lalu diikuti UAE pada 17 hingga 19 Januari. Perdana Menteri akan berada di New Delhi sehingga Khamis ini (21 Jan) sebelum ke Chennai hingga 23 Januari.
  • Dato Sri Najib akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Dr. Manmohan Singh, bagi membincangkan pelbagai isu dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangasa bagi kepentingan bersama.
  • Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan captains of Industry (peneraju industri India) serta menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang kerjasama.
  • Perdana Menteru juga akan meletakkan kalungan bunga di Memorial Mahatma Gandhi di Rajghat dan seterusnya melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden India, Pratibha Devisingh Patil.
  • Pada sebelah tengah hari, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-India bertemakan Hubungan Ekonomi Malaysia-India : Langkah ke Hadapan. Perdana Menteri juga akan mengunjungi Presiden Parti Kongres, Sonia Gandhi.
  • Hakikatnya Perdana Menteri, isteri dan rombongannya mempunyai jadual yang amat ketat sepanjang lawatan ini.
  • Sesungguhnya India adalah sebuah negara yang pelbagai warna. Ia adalah adunan modenisasi dan tradisi. Teknologi tinggi dan industri desa. Metropolis canggih dan kedaifan setinggan. Namun suatu yang pasti India telah muncul sebagai suatu kuasa ekonomi global yang semakin berpengaruh dan kita haruslah mengeksploitasi hubungan simbotik kita dengan India dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
  • Dispora India di Malaysia sewajarnya belajar apa yang ada di India, khususnya teknologinya dan membawanya ke Malaysia dan sekaligusnya menjadikan Malaysia sebagai hub pelaburan kepada korporat-korporat gergasi India. Tahukah anda bahawa orang yang paling kaya di Britain adalah Mittal seorang usahawan India yang menguasai industri keluli dan beliau berada dalam lingkungan lima terkaya di dunia. Begitu juga orang kedua paling kaya di Malaysia ialah T. Ananda Krishna. Justeru itu pandangan bahawa masyarakat India telah didiskriminasikan adalah tidak benar. Pokoknya kejayaan ada di mana-mana, namun ia perlu digarap dengan kreatif dan bekerja keras bukannya dengan alasan dan aduan.

MEMANDANG KE INDIA

  • 19 Januari 2010 , New Delhi India
  • Saya kini berada di New Delhi, India. Saya berada di sini atas urusan rasmi. Esok YAB Perdana Menteri akan tiba untuk melakukan lawatan rasmi di sini. India adalah rakan yang amat strategik bagi Malaysia. Banyak kerjasama yang telah diterokai dan boleh ditambah terokai antara Malaysia dan India. Ini adalah sedikit informasi tentang India.
  • India ialah negara DEMOKRASI terbesar di dunia lantaran ia adalah negara yang paling ramai pengundi dalam pilihanraya. Meskipun negara China mempunyai populasi lebih besar namun ia tidak mengamalkan demokrasi lantaran ia tidak mengadakan pilihan raya umum.
  • Malaysia dan India mempunyai banyak persamaan. Bukan sahaja di negara kita mempunyai populasi yang besar keturunan India namun susur galur sejarahnya juga hampir serupa. Malaysia dan India pernah dijajah oleh British.
  • India seperti juga Malaysia mengamalkan sistem parlimen ala Westminster dengan berpaksikan dua dewan. India mempunyai tiga cabang pemerintahan iaitu Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan . Ia tidak mempunyai raja sepertimana cabang keempat dalam sistem kerajaan Malaysia.
  • Sejak mencapai kemerdekaan, India telah mengalami keganasan dan pemberontakan sektarian di merata negara, namun masih mampu mengekalkan perpaduan dan demokrasinya.
  • India ialah sebuah negara ahli pengasas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Pada tahun 1974, India dinobatkan sebagai sebuah negara nuklear ekoran kejayaannya menjalankan ujian nuklear bawah tanahnya.
  • Sejak merdeka tahun 1947 sampai tahun 1990, pertumbuhan ekonomi India amat lembab. Ini ekoran mengamalkan sistem ekonomi tertutup dan campur tangan kerajaan yang keterlaluan. Krisis kewangan pada tahun 1991 telah memaksa India melakukan transformasi ekonomi.
  • Mulai tahun 1991, pembaharuan ekonomi telah mengubah wajah India sebagai salah sebuah ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia, menambahkan pengaruhnya di peringkat serantau dan antarabangsa.
  • Sejak itu ekonomi India tumbuh pesat sehingga mencatat pertumbuhan tercepat kedua setelah China. Dijangkakan dalam era mendatang India bersama China akan menjelma menjadi kuasa ekonomi setara dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
  • India mengamalkan sistem ekonomi yang terbuka dan pro-pasaran. Ini membawa kepada peningkatan perdagangan luar negera, aliran modal asing yang aktif serta aktiviti ekonomi yang pro-bisnes.
  • Kebangkitan ekonomi India bagai magnet yang menarik banyak pihak untuk mempelajari lebih dalam mengenai India. Kalau China hebat kerana hardwarenya maka India terkenal kerena softwarenya.
  • Hakikatnya India mempunyai kekuatan luar biasa dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan industri filem. Kemajuan ICT India amat luar biasa hinggakan kota Bangalore telah menjadi pusat IT dunia. Hampir semua industri IT gergasi membuka operasinya di Bangalore seperti Microsoft, IBM, Infosys dan Wipro.
  • Apa yang jelas, kejayaan India harus menjadi iktibar kepada kita. India berjaya kerana membentuk satu model ekonomi yang kondusif dengan kekuatannya dalamannya. Impaknya ialah India kini adalah pemain global dalam bidang software IT. Kita mampu menjadi pemain global, InsyaAllah dengan berpaksi kepada MODEL EKONOMI BARU yang akan dilancarkan kelak, kita akan menjadi kuasa ekonomi suatu hari nanti.

. . . . . . . MODEL EKONOMI BARU: PROSPEK DI TIMUR TENGAH

  • 17 Januari 2010, Ahad, Wangsa Maju
  • MODEL EKONOMI BARU yang akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri adalah satu kerangka ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 seperti mana yang termaktub dalam WAWASAN 2020.
  • YAB Perdana Menteri telah mengambil langkah pro-aktif dengan membuka hubungan perdagangan antarabangsa yang pragmatik antara Malaysia dengan negara-negara Teluk dalam lawatannya ke Timur Tengah yang sedang berlangsung. Lawatan ini adalah salah satu inisiatif dalam menyediakan landasan MODEL EKONOMI BARU.
  • MODEL EKONOMI BARU bukan sekadar satu penyataan misi dan visi, tetapi ia adalah satu rancangan komprehensif ke arah pertumbuhan tinggi. Meskipun ia belum dilancarkan tetapi YAB Perdana Menteri telah mengambil langkah awal dengan membuka jalan dengan mempromosikan Malaysia secara agresif. Ini sekaligus menegaskan bahawa POLA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA perlu dijana bukan sahaja dalam negara tetapi juga menerusi keuntungan yang digarap di luar negara.
  • Pada masa ini kebanyakan syarikat Malaysia hanya tertumpu kepada sektor pembinaan di Arab Saudi. Tidak dinafikan bahawa sektor ini amat menguntungkan, tetapi ia hanya dikecapi oleh syarikat-syarikat besar. Namun peluang di Qatar juga perlu diperhatikan. Usahawan-usahawan Malaysia juga perlu penerjahan ke sektor produk halal, kerana di situlah wujudnya BLUE OCEAN yang sebenar, iaitu potensi pasaran yang amat besar yang belum diterokai sepenuhnya.Di sinilah wujudnya hubungan simbiotik antara pasaran luar negara dengan pertumbuhan PKS dalam negara.
  • Dalam sektor pembinaan, kita hanya menghantar pengurus projek, jurutera dan tenaga mahir ke sana untuk menguruskan projek. Kita tidak membawa bahan-bahan mentah dari Malaysia, tetapi dalam sektor produk halal, kita berpeluang untuk membawa produk kita ke sana dan permintaan yang besar akan mencambahkan produktiviti kilang-kilang PKS domestik dan sekaligus merancakkan sektor perkhidmatan melalui sub-kluster dalam bidang perkapalan, forwarding, insurans, perbankan, pembungkusan dan pengiklanan.
  • Kita juga perlu menerjah ke dalam bidang pertanian di Timur Tengah kerana kesedaran terhadap sektor ini semakin meningkat menyedari bahawa pergantungan terhadap sektor tenaga iaitu minyak dan gas bukanlah bersifat mampan (berpanjangan). Mereka ini sedang mencari teknologi bagaimana menghijaukan padang pasir kerana sumber air bukanlah lagi satu masalah besar. Ini adalah langkah ke arah mewujudkan sektor pertanian yang berdaya maju di sana. Kita mempunyai kepakaran yang terbukti dalam bidang ini dan sewajarnya kita menggapai peluang ini sebelum dicekup oleh syarikat-syarikat barat. Peluang-peluang perniagaan yang diperolehi di luar negara akan memberikan impak rantaian ke arah pertumbuhan ekonomi dalam negara dan seterusnya mewujudkan pola pertumbahan yang baru.
  • Hakikatnya YAB Perdana Menteri bukan hanya memerah idea tetapi juga memerah keringat dengan mempromosikan Malaysia dengan cara yang amat agresif. Beliau lakukan ini semua kerana beliau ingin MODEL EKONOMI BARU yang bakal dilancarkan tidak terbelenggu dengan retorik semata-mata tetapi telah terbongkang luas laluannya, persoalannya apakah GLC dan usahawan kita sanggup mengambil risiko dan berfikir lebih kreatif dan bertindak lebih inovatif dalam menjadi agen pembangunan ekonomi baru Malaysia.

~~~PENUBUHAN BADAN PERSEFAHAMAN ANTARA AGAMA : IKIM WAJAR DIBERIKAN PERANAN

  • 17 Januari 2010, Ahad, Wangsa Maju
  • Saranan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, TPM bahawa perlunya membentuk satu mekanisme agar persefahaman antara agama dapat diwujudkan amatlah saya sokong. Beliau berpendapat bahawa sudah tiba masanya kerajaan memikirkan secara lebih serius mengenai inisiatif-inisiatif yang boleh mewujudkan persefahaman antara agama di negara ini. Beliau juga akan mendapatkan pedoman dari Perdana Menteri berhubung perkara ini.
  • Tan Sri Muhyiddin mencadangkan diwujudkan satu petugas khas yang bertanggungjawab mengendalikan isu-isu mengenai kefahaman antara agama.
  • Saya berpendapat ini adalah suatu inisiatif yang bernas dan sudah kena pada masa dan ketikanya. Dalam hal ehwal Islam sendiri, kita mempunyai pelbagai agensi yang bertanggungjawab dalam pentadbiran hal ehwal Islam namun apabila timbul isu-isu yang melangkau batasan hal ehwal orang Islam tetapi masih melibatkan agama Islam maka akan wujudnya kelompongan dalam menangani isu ini.
  • Justeru itu perlu diwujudkan satu mekanisme di mana hal-hal sensitif yang melibatkan isu agama mempunyai forumnya yang tersendiri. Ini kerana isu-isu begini tidak mampu diselesai menerusi mahkamah semata-mata, tetapi memerlukan perbincangan yang mendalam dengan mengambil kira aspek budaya dan politik.
  • Saya berpendapat INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) adalah salah satu pihak yang boleh diberikan peranan dalam menjayakan inisiatif ini. IKIM adalah sebuah badan Think Tank yang mempunyai prasarana yang lengkap yang mampu memainkan peranan sekiranya diberikan tanggungjawab. Apatah lagi ia dipengerusikan oleh YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri yang amat dihormati. IKIM adalah salah satu calon terbaik untuk menganggotai badan persefahaman antara agama ini.

KALIMAH ALLAH: JANGAN JADIKAN BAHAN GURAUAN DALAM INTERNET

  • 16 Januari 2010, Wangsa Maju
  • Akhbar melaporkan bahawa seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) didakwa di Mahkamah atas tuduhan menghantar komen berbentuk ugutan dalam laman Facebook berhubung isu kalimah Allah.
  • Beliau didakwa menggunakan Internet dengan penghantaran komen yang bersifat mengancam dengan niat untuk mengganggu orang lain di laman Facebook.
  • Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah isu penggunaan Kalimah Allah ini bukanlah suatu isu yang boleh dibuat gurauan. Ia adalah isu yang serius yang tidak sewajarnya dijadikan mainan dalam internet.
  • Apabila saya melawat gereja yang dibakar di Wangsa Maju pada minggu lalu saya sedar insiden serangan ini memberikan pelbagai implikasi dalam pemikiran rakyat. Penggunaan komen dalam internet secara yang tidak bertangungjawab ibarat mencurah minyak ke dalam api. Ia boleh membawa kesan yang destruktif.
  • Justeru itu saya menyeru golongan muda kerana saya sedar wujudnya populasi generasi muda yang besar di Wangsa Maju yang sememangnya fasih dengan ICT agar tidak menjadikan internet sebagai medium gurauan dalam isu-isu yang sensitif.

INTIPATI UCAPAN DATO SRI NAJIB DALAM PROGRAM UMNO JUARA RAKYAT

  • YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri pada 9 Januari 2010 di Bukit Beruntung ketika melancarkan program UMNO Juara Rakyat dalam ucapannya menyatakan:
  • “Kita pilih Juara Rakyat sebagai tema kita kerana UMNO dan rakan dalam Barisan Nasional (BN) dengan segala perasaan rendah diri menerima keputusan pilihan raya umum lepas, yang mana rakyat telah memberi isyarat kepada UMNO dan BN.
  • “Kami dengar dan kami terima bahawa rakyat telah memberi teguran kepada UMNO dan BN, teguran itu kami akan hayati bukan saja kami dengar tapi kami insaf bahawa dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat ialah kuasa keramat dan mutlak.
  • “Kita mesti memperlihatkan parti kita melalui segala usaha tindakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita di semua peringkat bahawa kitalah merupakan juara kepada aspirasi dan kehendak rakyat di dalam negara kita.
  • “Justeru itu kita mesti menyusun langkah untuk memperlihatkan hakikat bahawa kita adalah parti yang sentiasa dapat merasai denyutan nadi rakyat melalui pelbagai usaha yang kita lakukan sepanjang masa.
  • Beliau berkata, UMNO sebagai parti tertua di negara ini juga perlu bekerja lebih keras memenangi hati rakyat agar tidak dilupakan dan hanya menjadi kenangan pada masa depan.
  • Berkongsi cerita pertemuannya dengan Perdana Menteri baru Jepun, Yukio Hatoyama, Dato Sri Najib berkata, UMNO dan BN wajar mengambil iktibar daripada kejatuhan parti tersohor Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP), kerana parti itu banyak persamaan dengan UMNO dari segi peranan mendapat kemerdekaan negara, perjuangan mengisi kemerdekaan serta tempoh pemerintahan.
  • “Saya tanya Perdana Menteri baru Jepun, Mr Hatoyama tolong bagi tahu saya bagaimana parti saudara telah mengalahkan parti LDP?, jawapannya ringkas sahaja LDP sudah tak lagi dekat di hati rakyat, tidak lagi dapat merasai denyutan nadi rakyat, tak faham apa kehendak dan aspirasi rakyat.
  • “Bila Hatoyama bagi tahu saya, ayat itu masih terngiang-ngiang di telinga saya sampailah hari ini,” katanya sambil menzahirkan harapan supaya semua parti komponen BN meletakkan komitmen yang tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat.
  • Dato Sri Najib kemudiannya turut berkongsi cerita tentang bekas wakil Presiden Indonesia Tan Sri Try Sutrisno mengenai kehidupan.
  • “Dia kata manusia ada pelbagai peringkat, bila pada umur 20 tahun dianggap pada zaman pandang-pandang hidup, pada 30-an dia dikategori pegangan hidup, bila umur 50-an dia masuk kategori perjuangan hidup dan bila berumur 70 tahun ke atas dia masuk kategori kenangan hidup.
  • “Parti UMNO usianya sudah 63 tahun, jangan kita dalam kenangan hidup...kita mesti dalam jiwa muda, semangat kuat, pandang-pandang hidup, pegangan hidup... inilah tema kita UMNO, Barisan Nasional Juara Rakyat...jangan nampak tak bermaya, bila kita suruh kerja letih, malas, berat...kalau macam itu dah masuk kategori kenangan hidup.
  • Dato Sri Najib berkata, "pemimpin-pemimpin masyarakat sepatutnya memfokuskan usaha mereka dalam membantu rakyat dan tidak hanya bermain politik untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi.
  • “Jangan berangan-angan sangat, jangan fikir nak jadi wakil rakyat...itu soal kedua, kalau kita buat kerja rakyat suka kita dan pasti (rakyat) boleh menilai kita.
  • Dato Sri Najib berkata, program Juara Rakyat akan dilaksanakan di setiap bahagian UMNO di seluruh negara pada setiap bulan mengikut tema tersendiri.
  • "Ini adalah satu cara memastikan parti lebih dekat dengan rakyat dan sentiasa peka terhadap sebarang permasalahan rakyat di peringkat akar umbi," katanya.
(di edit dari sumber BERNAMA)

PROGRAM UMNO JUARA RAKYAT DI LANCARKAN

9 Januari 2010, Sabtu
  • Pagi tadi Program UMNO JUARA RAKYAT telah selamat dirasmikan oleh YAB Presiden UMNO, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia dihadapan puluhan ribu pemimpin, ahli-ahli UMNO dan rakyat di Hulu Selangor, Selangor.
  • Turut serta dalam majlis adalah para pemimpin dan penyokong parti–parti komponen Barisan Nasional. Ini menunjukkan persefahaman yang sedia terjalin dalam BN adalah kukuh dan akan terus diperkuatkan lagi melalui program-program dan aktiviti-aktivi UMNO-BN JUARA RAKYAT peringkat Negeri serta Bahagian dan Cawangan.
  • Antara intipati ucapan YAB Dato Seri Mohd Najib menjelaskan bahawa:-
  1. Program JUARA UMNO RAKYAT membuktikan UMNO-BN memang sentiasa bekerja untuk rakyat dan kerja-kerja tersebut akan terus dipergiatkan lagi disetiap peringkat kepimpinan.UMNO-BN akan terus berjuang membangunkan bangsa dan kepentingan Melayu yang kini terkebelakang dalam banyak perkara namun tidak akan mengenepikan kepentingan kaum lain.
  2. UMNO bukan parti ‘racist’ kerana sejak dari usaha mencapai kemerdekaan, kaum-kaum lain telah diundang untuk turut serta melalui gabungan UMNO-MCA-MIC yang dikenali sebagai PERIKATAN dan seterusnya penubuhan BARISAN NASIONAL selepas peristiwa 13 Mei 1969.
  3. UMNO-BN menginsafi isyarat rakyat terhadapnya pada PRU-12 yang lepas dan akan sentiasa bersama dan memperbaiki khidmat kepada rakyat melalui pelbagai program supaya UMNO- terus memahami ‘dengut nadi rakyat’ dan rakyat pula terus menyokongnya untuk memimpin negara dan rakyat dalam pilihanraya yang akan datang.
  4. Para pemimpin UMNO-BN diingatkan jangan bersifat mengabaikan rakyat. Berbuat baiklah dengan rakyat.
  5. YAB Presiden UMNO juga mengutuk perbuatan membakar gereja dan meminta pihak polis membawa mereka yang bersalah kemuka pengadilan. Beliau juga meminta semua pihak mengormati Islam sebagai agama rasmi negara tidak mengganggu gugat kesejerahtaan dan keselamatan negara.YAB Presiden UMNO meminta para pemimpin dan ahli-ahli UMNO bekerja kuat berjuang untuk membela agama, bangsa, rakyat dan membangun negara
  • Para peserta gerai yang mempamerkan pelbagai hasil pertanian dan IKS juga nampaknya sentiasa tersenyum dengan kedatangan pembeli yang memberi barangan ataupun mendengar taklimat. Itu adalah satu usaha yang sangat baik dipihak UMNO-BN kearah meningkatkan ekonomi rakyat.
  • Dengan kerja kuat, komitmen, perjuangan dan izin Allah, UMNO akan berjaya mengambil balik negeri-negeri yang jatuh ke pihak lain dalam pilihanraya PRU-13 yang akan datang.

KALIMAH ALLAH: TANGANI DENGAN BERHEMAH

  • Sabtu 9 Januari 2010, Wangsa Maju
  • Serangan ke atas beberapa buah gereja termasuk sebuah di kawasan saya (Wangsa Maju) haruslah dikutuk kerana ia bukan budaya orang Melayu, bukan budaya orang Islam dan tentunya bukan budaya UMNO. Serangan itu adalah tindakan yang tidak Islamik dan hanya memburukkan imej agama Islam.
  • Pokoknya, penggunaan kekerasan bukanlah caranya. Penyelesaiannya adalah dengan cara berhemah yang berteraskan kepada lunas undang-undang. Kita boleh suarakan pendangan kita, kita boleh lemparkan pandangan kita, tetapi tidak dengan melemparkan sesuatu yang boleh membawa kemudaratan kepada orang lain. Langkah yang paling baik adalah dengan berdialog. Namun inilah yang tidak difahami oleh pihak yang membawa kes ini ke mahkamah tinggi. Mereka sewajarnya berdialog dengan semua pihak-pihak yang berkenaan terlebih dahulu dan mengambil pendekatan yang lebih berhemah.
  • Isu penggunaan kalimah ALLAH perlu ditangani secara proses keilmuan dan pendidikan. Rasulullah SAW sepanjang kepimpinannya sentiasa mengingatkan orang Islam agar menghormati agama lain dan tempat beribadah orang lain. Baginda mengarahkan agar tentera Muslim jangan merosakkan rumah ibadah agama lain dan orang-orang kafir yang berlindung di dalamnya jangan dikasari.
  • Kita juga patut taat kepada titah DYMM SPB Yang diPertuan Agong yang mahukan rakyat bertenang dan jangan bertindak di luar batasan. Kita jangan biarkan anasir-anasir subversif mengambil kesempatan dari isu ini untuk mewujudkan ketidakstabilan sosial dan politik.
  • Jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menuding jari ke arah UMNO dengan membuat tohmahan bahawa UMNO bertanggungjawab ke atas serangan tersebut. Mereka yang membuat tohmahan perlu diambil tindakan kerana kita TIDAK MAHU peristiwa 13 Mei berulang lagi.

KALIMAH ALLAH: UMNO JUARAI ... PAS KHIANATI

  • Jelas dan terang peristiwa getir penghakiman yang membenarkan kalimah suci Allah digunakan oleh bukan Islam benar-benar menusuk jiwa dan perasaan saya dan majoriti umat Islam di Malaysia.
  • Saya menghargai dan mengucapkan syabas kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO serta semua orang Islam umum tua dan muda yang bangun menentang perkara tersebut dengan penuh yakin melalui ‘perkumpulan kecil’ dan menghantar memorandum. Mereka inilah yang menjadikan UMNO kembali dihargai oleh rakyat pada hari ini.
  • Petang semalam saya tersentuh hati apabila beberapa orang yang saya baru sahaja temui memberikan sokongan positif kepada UMNO yang menolak kalimah suci Allah digunakan oleh orang bukan Islam. Pada mereka PAS dan PKR memang tidak boleh diharapkan lagi.
  • Saya dapat rasakan masyarakat Islam agak kecewa apabila pakar-pakar Islam dari institusi-institusi pengajian tinggi dan institusi berteraskan Islam tetapi hampir semuanya/kebanyakannya berdiam diri dan lari dari memberi pandangan atau membahaskan perkara ini.
  • Apa sudah jadi dengan mereka? Adakah mereka setuju dengan penghakiman itu ataupun tidak bersetuju ... tetapi nampaknya seolah-olah hilang upaya untuk berani kehadapan dengan realiti perjuangan?
  • Bagaimana pula dengan peguam-peguam Islam yang hebat bercakap tentang Islam tetapi kebanyakannya membisu kaku dan ada yang menyindir UMNO dalam menangani isu ini. Siapa mereka itu? Mengapa mereka jadi begitu? Ternyata lagak mereka lesu. Peguam kerajaan yang diketuai oleh Tan Sri Gani Patail nampak tenang menguasai keadaan.
  • Parti PAS dan PKR telah menjelaskan pendirian mereka terhadap isu besar yang menyerang umat Islam Malaysia. Pada hemat saya pendirian mereka tidak tepat dan merupakan suatu pengkhianatan kepada umat Islam dan terhadap perjuangan Islam di Malaysia.
  • Sebagai pengamal politik, saya juga terfikir adakah pendirian mereka itu baru sahaja diambil dalam sehari dua ini atau memang telah dipadu sejak sebelum PRU Ke-12 yang lalu?
  • UMNO dan kerajaan (sebagai ulil amri) sedang menjalankan tugas mempertahankan dan memastikan Islam terus terjunjung tinggi kesuciannya serta memastikan Malaysia sentiasa mendapat petunjuk, rahmat dan baraqah dari Allah SWT.
  • Setiap umat Islam di Malaysia yang waras dan bernafas dengan kalimah Allah semestinya berpendirian tegas bahawa kalilah Allah hanyalah hak orang Islam. Kalau kita bersatu dalam isu ini InsyaAllah, kita dapat pertahanannya secara berjemaah sekaligus menghalang penyusupan unsur-unsur negatif yang mahu melemahkan umat negara kita.Kita tidak mahu umat Islam berkecamuk dan menjadi semakin lemah. Kita mesti menjadi semakin kuat untuk menghadapi serangan ini.
  • Sehubungan itu juga setiap umat Islam di Malaysia mesti juga berdoa semoga rayuan di mahkamah nanti akan membuahkan kemenangan.
  • Teruskan perjuangan – Ya Allah! berikanlah kami petuntuk, rahmat dan keberkatan serta kemenangan dunia dan akhirat dalam perjuangan ini. Amin.

PERTAHAHANKAN KALIMAH ALLAH ...HAKIKAT SEGALA HIJRAH

TAZKIRAH JUMAAT, 8 Jan 2010, Wangsa Maju
  • Kita sememangnya wajib bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan banyak kenikmatan kepada kita. Kenikmatan yang terbesar yang diberikan kepada kita, ialah nikmat Islam. Dan kewujudan kita sebagai orang yang beragama Islam. Sebab ramai orang yang diberi kenikmatan hidup, tetapi tidak mahu memeluk Islam. Peliknya mereka ingin pula 'bertuhankan' Allah, nama Tuhan bagi orang-orang Islam.
  • Bersempena dengan "Maal Hijrah" yang tidak baru berlalu maka saya mengambil kesempatan ini untuk mambawa kita mengingati peristiwa Hijrah baginda Rasulullah SAW?
  • Ketika berdakwah di Mekah, Rasulullah SAW telah melalui masa-masa yang sangat sulit. Terutama setelah RAsulullah SAW diperintahkan Allah untuk menyampaikan Islam secara terbuka kepada masyarakat Mekah setelah Allah menurunkan surah al-Hijr:94:
  • "Maka sampaikanlah secara terbuka apa yang diperintahkan kepada kamu, dan tentanglah orang-orang musyrik itu."
  • Setelah ayat ini turun, khususnya setelah Umar bin Khattab dan Hamzah bin Abdul Muthallib memeluk Islam, maka Rasulullah SAW memulakan dakwah secara terbuka. Baginda, kemudian melakukan tawaf mengelilingi Ka'bah, yang diikuti oleh para sahabat. Sejak itu, para sahabat dan pengikut baginda, termasuklah baginda sendiri, setiap hari menerima penyiksaan daripada penguasa Mekah dan orang-orang kafir Quraisy.
  • Pernah baginda sedang solat berhampiran Kaabah, leher baginda diikat oleh Uqbah bin Abi Mu'ait, sehingga baginda tidak dapat bernafas, sampai akhirnya baginda ditolong oleh Abu Bakar. Pada masa yang lain, apabila baginda sedang shalat, tengkuk leher baginda dipukul oleh Uqbah bin Mu'ait, sehingga baginda pengsan, dan akhirnya ditolong oleh Fatimah. Puteri baginda itu menangis, sedih, melihat nasib ayahanda tercintanya dianiaya oleh orang-orang kafir. Bukan baginda sahaja yang mengalami nasib buruk seperti itu, malahan keluarga Yasir telah disiksa, sehinggalah Sumayyah meninggal dunia sebagai syahidah pertama.
  • Setelah penganiayaan secara fizikal gagal menggoyahkan iman para sahabat maka orang-orang kafir itu telah merancang untuk mengasingkan baginda SAW dan para pengikutnya. Maka terjadilah rancangan jahat itu selama lebih kurang 3 tahun. Baginda dan para sahabat hidup di sebuah lembah dalam keadaan kekurangan makanan, pakaian, pekerjaan, rumah dan diusir dari Mekah. Dan setelah itulah, baginda meminta para sahabat untuk meninggalkan Mekah menuju ke Habbasyah (Ethiopia-Afrika) untuk mencari perlindungan kepada Raja Najasyi, dengan maksud untuk mempertahankan agama mereka dari serangan secara berterusan yang dilakukan oleh orang-orang kafir.
  • Baginda Rasulullah SAW dan beberapa sahabat masih terus tinggal di Mekah.Justeru menjadikan tindakan orang-orang kafir semakin biadab kepada baginda SAW. Sehingga baginda berfikir untuk mencari perlindungan, kerana dakwah Islam tidak mungkin lagi dapat disebarkan kepada orang-orang Mekah.
  • Baginda cuba berhijrah ke Taif, untuk mencari perlindungan kepada Bani Tsaqif, tetapi diusir dengan cara tidak sopan. Baginda dilempari dengan batu dan kotoran, sehingga tubuh baginda berlumuran darah dan kotor. Sehinggakan Zaid bin Haritsah menangis, melihatkan keadaan baginda yang sangat menyedihkan itu.
  • Baginda, mencuba untuk masuk kembali ke Mekah, meskipun baginda tahu bahawa baginda akan dibunuh, apabila berada disana. Maka, baginda berusaha mencari perlindungan kepada Mut'im bin Adi, salah seorang tokoh pemuda Mekah. Mut'im sanggup melindungi keselamatan baginda SAW dan dakwah baginda. Sejak itulah, baginda berada dalam perlindungan Mut'im bin Adi.
  • Sejak itu, baginda selalu mengunjungi kabilah-kabilah yang datang ke Mekah untuk menyampaikan dakwah Islam yang baginda bawa. Meskipun risikonya sudah jelas sekali bagi baginda, sebagaimana sumpah baginda: "Demi Allah, seandainya mereka boleh meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, aku tetap tidak akan meninggalkan urusan dakwah ini, sehingga ia dimenangkan Allah, atau aku dibinasakan dalam usaha untuk menuntutnya. "
  • Maka, baginda SAW, tetap tidak takut, dan terus-menerus berdakwah, meskipun pada masa itu tidak satu kabilah pun yang menerima. Pernah baginda menyampaikan dakwah ini kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, yang pada awalnya bersedia menerima seruan dakwah Rasulullah SAW, namun dengan syarat kepemimpinan baginda mestilah diserahkan kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, namun hal ini dijawab dengan tegas oleh baginda: "Sesungguhnya perkara (kekuasaan kepemimpinan) ini merupakan hak Allah, yang akan Dia serahkan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki."
  • Setelah jawapan itu disampaikan oleh Rasulullah, baginda terus diusir dari khemah kabilah Amru bin Sa'sa'ah. Allah bagaimanapun memberikan pertolongan dengan dipertemukannya baginda SAW. dengan orang-orang Aus dan Hazraj yang datang untuk menunaikan haji di Mekah. Maka, apabila mereka mendengarkan seruan Rasullah untuk beriman dengannya dan mereka terusnmenerimanya, dan setelah itulah terjadi Bai'at Aqabah I, yang dilakukan di bukit Aqabah. Dan ini merupakan titik awal perkembangan dakwah Rasulullah saw. yang pertama, sehinggalah dakwah Islam ini sampai ke Yasrib, (nama Madinah sebelum diubah oleh baginda SAW).
  • Setelah rombongan Aus dan Hazraj kembali ke Madinah, mereka meminta Nabi saw. untuk mengirimkan orang agar mengajarkan Islam kepada mereka di sana. Ketika itulah, baginda mengirim Mus'ab bin Umair. Salah seorang sahabat Rasulullah, yang sebelumnya merupakan pemuda yang kaya raya, tetapi lebih memilih hidup sederhana bersama Rasulullah. Mus'ab lah yang menyampaikan pelajaran Al-Qu'an kepada penduduk Madinah, sehingga beliau mendapat gelaran sebagai Muqriul Madinah.
  • Dan ternyatalah dakwah Islam yang disampaikan oleh Mus'ab dan orang-orang Aus dan Hazraj yang telah memeluk Islam telah berjaya mengubah pemikiran penduduk Madinah, sehinggalah semua orang memperkatakan tentang Islam. Akhirnya, bilangan orang yang menyertai Islam menjadi semakin ramai, sehingga mereka mula melaksanakan solat Jumaah yang pertama kalinya di sana.
  • Berita ramainya penduduk Madinah yang menyertai Islam ini telah menyenangkan hati Rasulullah saw. dan para sahabat yang masih menyertai baginda di Makkah. Dan untuk membuktikan kesanggupan Madinah smenjadi pusat pengembangan Islam, maka baginda meminta Mus'ab untuk mengirimkan mereka ke Mekah.
  • Maka, berangkatlah pada musim haji berikutnya, seramai 75 orang. 73 lelaki dan 3 perempuan. Mereka kemudian sampai di Mekah dan bertemu dengan Rasulullah lantas menyatakan sumpah setia yang dikenal dengan Bai'at Aqabah II. Bai'at ini juga dikenal sebagai sumpah setia untuk hidup dan mati demi Islam. Ia juga persetujuan penyerahan kekuasaan orang-orang Madinah kepada Nabi untuk menjadi Ketua Negara Islam. Dan inilah yang mendorong baginda untuk berhijrah ke Madinah.
  • Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah bukan untuk melarikan diri atau menyelamatkan diri dari ancaman orang-orang kafir. Tetapi untuk menegakkan Islam, sehingga Islam ini menjadi agama dan ideologi yang boleh disebarkan ke seluruh dunia, untuk menyelamatkan dunia daripada kehancuran. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. dalam surat At-Taubah: 33 /Al-Fath: 28 /As-Shaf: 9.
  • "Dialah Yang mengutus Rasul-Nya dengan (membawa) petunjuk dan agama yang haq, agar Dia memenangkan agamanya, keatas agama-agama yang lainnya."
  • Maka, tanpa hijrahnya Rasulullah ke Madinah, Islam tidak akan pernah sampai kepada kita di Malaysia. Sebab, tidak pernah wujud negara Islam yang menyebarkan dakwah ke seluruh dunia. Tetapi dengan hijrahnya baginda SAW ke Madinah maka negara Islam yang pertama kalinya berdiri tegak di Madinah, dan sejak itulah Islam disebarkan dengan dakwah dan jihad ke seluruh dunia. Sehinggalah Islam berkembang dengan cepatnya ke seluruh dunia, yang dimulakan dengan penaklukan wilayah Hejaz (622-632 M.) Wilayah Syam di taklukkan semasa Umar bin Khattab. Sehinggalah Islam masuk Eropah, setelah beberapa wilayahnya ditaklukkan pada tahun 696-705 M. pada masa Khilafah Ummayah. Pada masa yang sama, Islam juga telah sampai di Russia. Dan pada tahun 712, Islam telah sampai di Asia Tenggara.
  • Tetapi memandangkan pentingnya peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ini, maka sememangnya peristiwa ini bukan sekadar menjadi peringatan. Peristiwa Hijrah wajib dijadikan pelajaran, bahawa Islam menjadi agama kita, dan sampai kepada kita bukan merupakan peristiwa kecil, tetapi merupakan peristiwa besar. Kalau bukan kerana pengorbanan Rasul dan para sahabat pastilah Islam ini tidak akan sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang sanggup hidup dan mati demi Islam ini, tentulah Islam ini tidak sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang rela mengorbankan harta, keluarga dan nyawa mereka, pastinya Islam tidak akan wujud hingga ke hari ini.
  • Dan oleh itu, kita semua berhutang kepada mereka. Dan kita tidak dapat membayarnya, sebab mereka bukan meminta ganjaran daripada kita. Mereka menegakkan Islam dengan seluruh pengorbanan mereka, kerana mereka telah menjual diri mereka kepada Allah, dengan seluruh jiwa, harta dan semua yang mereka korbankan itu telah dibeli oleh Allah dengan syurga-Nya.
  • "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman itu, diri dan harta mereka, bahawa mereka akan diberi (imbalan) syurga." (Q.s. At-Taubah: 111).
  • Ketika ini Islam telah kehilangan generasi terbaiknya yang sanggup menjual diri, harta dan nyawanya kepada Allah. Inilah yang menyebabkan hilangnya cahaya petunjuk Islam, setelah runtuhnya Khilafah Islamiyah, Turki Othmaniyah, pada 3 Mac 1924. Selepas itu umat muslimin berterusan mengalami musibah di seluruh pelusuk dunia.
  • Islam ketika ini memerlukan generasi yang sanggup mengorbankan diri, harta serta nyawa mereka untuk menegakkannya. Kerana tanpa pengorbanan, Islam mustahil kembali bangkit semula. Maka, semuanya terpulang kepada keimanan dan ketaqwaan kita semua. Tetapi yang wajib diyakini, bahawa syurga dan neraka itu adalah abadi. Syurga merupakan puncak kenikmatan yang tidak diberikan secara percuma oleh Allah kepada manusia. Kerana itu, semakin tinggi pengorbanan kita, maka semakin besar kenikmatan kita di akhirat kelak. Semoga kita termasuk diantara orang-orang yang sanggup berkorban demi mempertahankan kalimah Allah. Kita tidak perlu berperang tetapi cukup sekadar bersuara dengan lantang.

HIPOKRASI PAS

7hb. Januari 2010, Khamis, Wangsa Maju

  • Kenyataan-kenyataan parti PAS dan PKR yang menerima keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah suci Allah oleh gereja (bukan Islam) membuktikan bahawa kedua-dua parti itu memang tidak mahu berbuat apa-apa dan akan menerima juga apa sahaja akibatnya kepada umat Islam dan negara.
  • Kini tanggungjawab yang sedang digalas oleh UMNO ini terpaksalah dibuat bersendirian. Kita bersendirian dalam perjuangan ini. Walaupun begitu itu janganlah gentar kerana usaha kita ini InsyaAllah akan mendapat rahmat dan bantuan dari Allah sehingga kita berjaya di dunia dan akhirat.
  • Demi kebaikan kesucian agama Islam dan kebaikan ummah masa kini dan kehadapan serta negara Malaysia yang aman sentosa yang sentiasa mendapat perlindungan Allah, perjuangan ini mesti diteruskan dengan pelbagai kaedah yang munasabah, hikmah dan bijaksana.

Selamat berjuang.

KALIMAH ALLAH

  • 5 Januari 2010 Selasa , Wangsa Maju
  • Umat Islam di Malaysia telah dilanda tsunami dan penghinaan pada 31 Desember 2009 apabila Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Law Bee Lan memutuskan membenarkan akhbar Gereja Katholik, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam terbitannya. Pada hemat saya keputusan Hakim adalah tidak tepat dan tidak menepati maksud dan semangat Perlembagaan Malaysia serta gagal memahami real politik Malaysia.
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Notis rayuan tersebut difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya kira-kira pukul 4 petang ini semalam (Isnin).
  • Saya menganggapnya sebagai suatu trajedi kerana ia merupakan serangan terang-terangan terhadap umat Islam Malaysia (mereka mahu mendakyahkan umat Islam Malaysia secara besar-besaran).
  • Entah apa yang telah menyerang PAS. Semalam Ahlijawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa mengaku menerima dan menyokong kalimah suci Allah digunakan oleh Kristian dan bukan Islam.
  • Begitulah golongan yang katanya berjuang untuk menjadikan negara Islam menurut definasi mereka. Kini semangat dan matlamat mereka sebenar telah terbongkar. Bukan hendak membina negara Islam tetapi bersekongkol dengan pihak yang mahu merampas kalimah suci Allah. Mereka ini pengkhianat kepada seluruh umat Islam negara.
  • Mereka tidak kisah nasihat Datuk Harun Din yang menyatakan bahawa menerima keputusan mahkamah itu boleh membawa kepada kekufuran.
  • Umat Islam yang waras sungguh kesal dengan peranan para pemimpin PAS dan PAS yang telah digunakan sebagai batu loncatan. Peranan YB. Khalid Samad dan YAB Nik Aziz Nik Mat sebenarnya sangat besar kepada kejayaan usaha Kristian tersebut. Pada hemat kami itu adalah satu pengkhianatan kepada umat Islam di Malaysia. Tindakan mereka dan PAS sebenarnya kearah memusnahkan Islam seperti yang sedang berlaku di Indonesia. Datuk Mohd Daud Iraqi orang kuat PAS begitu pengecut untuk komen dan bertindak membetul keadaan tetapi menyalahkan kerajaan. Itulah kepandaian mereka. Menyalahkan kerajaan sedangkan merekalah yang melakukan pengkhianatan untuk mendapatkan undi politik.
  • Tembelang pemimpin PAS YB. Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS yang menyokong usaha Kristian untuk menggunakan kalimah suci Allah kian terbongkar. Dalam artikel yang disiarkan di The Malaysian Insider dia telah menyalahkan UMNO dan Kerajaan yang kini sedang berusaha habis-habisan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah suci Allah oleh bukan Islam.
  • Apa yang beliau sarankan? ‘Mahfuz also urged Muslims to remain calm, adding that their concern should also be addressed by formulating a guideline on the use of the word ‘Allah’.
  • “Most importantly, all Islamic institutions must strengthen their dakwah work to all Muslims to avoid the confusion that may be caused by the use of the word Allah’
  • ‘(Mahfuz menyarankan orang-orang Islam bertenang, dan menambah bahawa keresahan mereka boleh dihilangkan dengan membuat garispanduan tentang penggunaan kalimah Allah. Terpenting, semua institusi Islam mesti meningkatkan kerja dakwah kepada semua orang Islam untuk mengelakkan kekeliruan yang mungkin berlaku akibat penggunaan kalimah Allah)’
  • Rakan karib PAS yang diketahui umum iaitu NGO Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) pula melalui Presidennya Zaid Kamarudin menyarankan ‘semua pihak wajar membolehkan bidang perundangan menjalankan peranannya yang diperuntukkan di bawah dalam undang-undang.’. Hairan JIM yang biasanya kedepan lantang dalam apa sahaja isu telah tergamam lemah longlai dalam isu ini.
  • Pokoknya, Kalimah Allah adalah hak orang Islam sahaja. Meskipun kalimah Allah digunakan oleh Kristian Arab namun mereka menggunakannya dengan merujuk kepada makna 'Tuhan' dalam Bahasa Arab lantaran perkataan Allah bermakna Tuhan dalam bahasa mereka. Arab adalah bahasa ibunda mereka. Tetapi Kristian di Malaysia bukan berbangsa Arab, maka mengapa mereka perlu menggunakan istilah Arab sedangkan Arab bukan bahasa ibunda mereka. Apa yang berlaku adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada. Penggunaannya tidak mempunyai asal usulnya yang sah tetapi kepalsuan semata-mata. Maka wajarlah `bidaah' besar ini ditentang habis-habisan kerana ia merosakkan keharmonian nasional.