INTIPATI UCAPAN DATO SRI NAJIB DALAM PROGRAM UMNO JUARA RAKYAT

  • YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri pada 9 Januari 2010 di Bukit Beruntung ketika melancarkan program UMNO Juara Rakyat dalam ucapannya menyatakan:
  • “Kita pilih Juara Rakyat sebagai tema kita kerana UMNO dan rakan dalam Barisan Nasional (BN) dengan segala perasaan rendah diri menerima keputusan pilihan raya umum lepas, yang mana rakyat telah memberi isyarat kepada UMNO dan BN.
  • “Kami dengar dan kami terima bahawa rakyat telah memberi teguran kepada UMNO dan BN, teguran itu kami akan hayati bukan saja kami dengar tapi kami insaf bahawa dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat ialah kuasa keramat dan mutlak.
  • “Kita mesti memperlihatkan parti kita melalui segala usaha tindakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita di semua peringkat bahawa kitalah merupakan juara kepada aspirasi dan kehendak rakyat di dalam negara kita.
  • “Justeru itu kita mesti menyusun langkah untuk memperlihatkan hakikat bahawa kita adalah parti yang sentiasa dapat merasai denyutan nadi rakyat melalui pelbagai usaha yang kita lakukan sepanjang masa.
  • Beliau berkata, UMNO sebagai parti tertua di negara ini juga perlu bekerja lebih keras memenangi hati rakyat agar tidak dilupakan dan hanya menjadi kenangan pada masa depan.
  • Berkongsi cerita pertemuannya dengan Perdana Menteri baru Jepun, Yukio Hatoyama, Dato Sri Najib berkata, UMNO dan BN wajar mengambil iktibar daripada kejatuhan parti tersohor Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP), kerana parti itu banyak persamaan dengan UMNO dari segi peranan mendapat kemerdekaan negara, perjuangan mengisi kemerdekaan serta tempoh pemerintahan.
  • “Saya tanya Perdana Menteri baru Jepun, Mr Hatoyama tolong bagi tahu saya bagaimana parti saudara telah mengalahkan parti LDP?, jawapannya ringkas sahaja LDP sudah tak lagi dekat di hati rakyat, tidak lagi dapat merasai denyutan nadi rakyat, tak faham apa kehendak dan aspirasi rakyat.
  • “Bila Hatoyama bagi tahu saya, ayat itu masih terngiang-ngiang di telinga saya sampailah hari ini,” katanya sambil menzahirkan harapan supaya semua parti komponen BN meletakkan komitmen yang tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat.
  • Dato Sri Najib kemudiannya turut berkongsi cerita tentang bekas wakil Presiden Indonesia Tan Sri Try Sutrisno mengenai kehidupan.
  • “Dia kata manusia ada pelbagai peringkat, bila pada umur 20 tahun dianggap pada zaman pandang-pandang hidup, pada 30-an dia dikategori pegangan hidup, bila umur 50-an dia masuk kategori perjuangan hidup dan bila berumur 70 tahun ke atas dia masuk kategori kenangan hidup.
  • “Parti UMNO usianya sudah 63 tahun, jangan kita dalam kenangan hidup...kita mesti dalam jiwa muda, semangat kuat, pandang-pandang hidup, pegangan hidup... inilah tema kita UMNO, Barisan Nasional Juara Rakyat...jangan nampak tak bermaya, bila kita suruh kerja letih, malas, berat...kalau macam itu dah masuk kategori kenangan hidup.
  • Dato Sri Najib berkata, "pemimpin-pemimpin masyarakat sepatutnya memfokuskan usaha mereka dalam membantu rakyat dan tidak hanya bermain politik untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi.
  • “Jangan berangan-angan sangat, jangan fikir nak jadi wakil rakyat...itu soal kedua, kalau kita buat kerja rakyat suka kita dan pasti (rakyat) boleh menilai kita.
  • Dato Sri Najib berkata, program Juara Rakyat akan dilaksanakan di setiap bahagian UMNO di seluruh negara pada setiap bulan mengikut tema tersendiri.
  • "Ini adalah satu cara memastikan parti lebih dekat dengan rakyat dan sentiasa peka terhadap sebarang permasalahan rakyat di peringkat akar umbi," katanya.
(di edit dari sumber BERNAMA)