CINTAILAH NABI MUHAMMAD SAW

MAULIDUR RASUL MENYINGKAP CAHAYA KE SELURUH ALAM

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
  • “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu, (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS. Al-Ahzab [33]: 21)
  • Empat belas abad yang lalu, tepatnya 12 Rabi’ul Awal (570 M), Allah SWT mengurniakan kepada manusia seorang hamba terbaik-Nya, Muhammad SAW, yang diutus oleh-Nya sebagai nabi dan rasul ketika baginda berusia 40 tahun.
  • Kelahiran Rasulullah Muhammad SAW adalah cahaya yang menyinar ke seluruh alam, justeru itu hari kelahiran baginda harus menginsafkan kita betapa bertuahnya kita dilahirkan dengan nikmat Iman dan Muhammad SAW adalah penghulu kita.

ROYALTI MINYAK DAN WANG EHSAN : KELANTAN TIADA HAK ATAS JOINT DEVELOPMENT AREA (JDA)

  • Isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan telah menggamatkan khususnya politik di Kelantan. Malah kebanyakan rakyat juga kurang jelas tentang isu ini lantaran ia melibatkan aspek perundangan yang kompleks. Kerajaan Persekutuan walaubagaimanapun berbesar hati memberi wang ehsan kepada Kelantan apabila Kelantan jelas tidak berhak mendapatkan royalti minyak.
  • Perlu di jelaskan bahawa kelemut ini bermula ekoran salah tafsiran terhadap Perjanjian antara Kelantan dan Petronas pada tahun 1975. Namun perjanjian ini di langkaui oleh perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Thailand yang membawa kepada pembentukan Joint Development Area (JDA).
  • Pembentukan Joint Development Area (JDA) ini adalah ekoran dari pertikaian tuntutan pertindihan sempadan antara Malaysia dan Thailand. Sebagai jalan penyelesaian maka kedua-dua negara bersetuju bagi mengenepikan perbalahan tersebut bagi membolehkan eksplorasi minyak dilakukan.
  • Dua negara tersebut kemudiannya menandatangani Memorandum Persetujuan untuk menubuhkan PENETAPAN KUASA BERSAMA UNTUK EKSPLORASI SUMBER LAUTAN DI KAWASAN YANG TELAH DI TETAPKAN DI TELUK THAILAND pada 21 Feb. 1979.
  • Selanjutnya ia membawa kepada penubuhan KUASA BERSAMA MALAYSIA – THAILAND pada 30 Mei 1990 yang membentuk niat pembangunan bersama seterusnya membawa kepada penubuhan JDA.
  • Ekplorasi minyak dalam JDA ini telah membawa kepada penemuan telaga minyak pada tahun 2004 . Telaga ini terletak lebih 3 batu nautika dari pesisir Kelantan bersempadan dengan kawasan laut Thailand. Ini sekaligus menafikan hak Kerajaan Kelantan kerana syarat royalti minyak adalah di dalam kurang dari 3 batu nautika dari pesisir negeri.
  • Dari segi teknikalnya Kelantan tidak mempunyai locus standi atau hak ke atas JDA kerana ia adalah urusan antara Kerajaan Malaysia dan Thailand. Menyedari juga bahawa kedua-dua negara masih belum dapat merungkaikan kemelut tuntutan sempadan maka apa jua kehendak Kelantan hanyalah bersifat akademik. Jika Kelantan masih mahu meneruskan tuntutannya maka ia perlu membawa Kerajaan Thailand sekali dalam prosiding perundangan. Namun bagaimanapun ia haruslah menunggu sehingga kemelut persempadanan Malaysia – Thailand di selesaikan dahulu. Sebab itulah saya katakan ia bersifat akademik.
  • Kerajaan Kelantan mengatakan bahawa ia mempunyai locus standi berasaskan kepada perjanjian yang dibuat oleh bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dengan Allahyarham Dato Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan dari Barisan Nasional. Dalam perjanjian tersebut telah dipersetujui bahawa kerajaan Kelantan layak mendapat royalti sebanyak 5% setiap 6 bulan dari hasil penjualan minyak Petronas.
  • Namun perjanjian antara kerajaan Negeri Kelantan dengan Tengku Rzaleigh itu dianggap telah berlaku (lapsed) dengan kehadiran JDA ini. Perjanjian tersebut tidak lagi terpakai kerana JDA yang termaktub di bawah Malaysia –Thailand Joint Authority Bill 1990.
  • Dengan pelaksanaan JDA 1990, hasil petroleum telah dibahagi sama rata 50-50 antara Malaysia dan Thailand. Ini bermakna Petronas tidak ada hak eksklusif sepenuhnya ke atas hasil minyak tersebut. Ini juga melupuskan tanggungjawab Petronas untuk memberikan royalti minyak kepada Kelantan.
  • Perlu ditegaskan hasil minyak tersebut berada dalam JDA yang dituntut sama oleh Malaysia - Thailand dan Malaysia – Vietnam. Ini bermakna ia tidak ada kena mengena dengan Kelantan melainkan Kelantan turut menyertai JDA.
  • Kesimpulannya kehadiran JDA telah membuka bidang kuasa baru kepada Kerajaan Persekutuan. Maka untuk tidak menambah kekeliruan maka Kerajaan Persekutuan menggunakan terminologi ‘wang ehsan’ dan bukan ‘royalti minyak’ untuk mengelakkan salah tafsir. Ini demi menepati makna pemberian wang tersebut iaitu kerajaan Persekutuan memberikan wang tersebut atas budi bicara dan bukan kerana hak negeri Kelantan. Ini bermakna ia adalah ehsan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan. Ini juga bermakna kadar pemberiannya adalah bergantung kepada ehsan Kerajaan Persekutuan.
  • Semoga penjelasan ini sedikit sebanyak dapat memberikan pemahaman tentang isu yang melanda.

. . . . . . . .MAJLIS PERMUAFAKATAN PENDIDIKAN PERINGKAT PARLIMEN

  • Pembangunan pendidikan bukan hanya tertakluk di dalam kelas tetapi juga dalam masyarakat. Oleh itu saya amat setuju dengan saranan YAB Tan Sri Muhyiddin agar diwujudkan Majlis Permuafakatan Pendidikan peringkat Parlimen di seluruh negara.
  • Saya difahamkan bahawa Majlis ini akan dipengerusikan oleh Wakil Rakyat dan dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG); badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan tempatan dan polis.
  • Ini bermakna golongan pendidik dan pelajar kini menjadi fokus kerajaan sebagai komponen penting dalam pembangunan negara. Ini sekaligus meningkatkan martabat guru-guru.
  • Suara mereka semakin kuat didengari dan menjadi input penting dalam pembangunan di peringkat daerah. Ini sekaligus memberikan faedah kepada pelajar-pelajar, di mana perancangan pembangunan di peringkat tempatan akan mengambil kira kepentingan golongan ini.
  • Ini akan menjadikan sistem pendidikan menjadi lebih professional dari segi perdebatan dan dari segi pelaksanaannya. Ada check n balance. Ada ketelusan. Semua pihak diberikan peluang untuk menyampaikan pandangan kerana kini adalan platfom yang tepat.
  • Harapan kita majlis ini akan menjadi batu loncatan dalam mewujudkan keharmonian antara kaum di mana wujudnya saluran agar suara-suara ini dapat diintegrasikan di bawah satu payung .
  • Tetapi bagi ibu-bapa seperti kita ini, Majlis Permuafakatan ini adalah suatu proses pengupayaan atau empowerment kepada ibu-bapa untuk turut sama mencorakkan pembangunan pendidikan di peringkat akar umbi, kita sudah tentu tak sentuh tentang kurikulum, tetapi boleh menjadikan aktiviti ko-kurikulum semakin bertenaga.
  • Ini sekaligus boleh membantu dalam pembinaan sahsiah pelajar, mengimarahkan aktiviti semasa cuti sekolah, pembinaan kerjaya dan banyak lagi.

SELAMAT TAHUN BARU CINA

  • 12 Februari 2010, Wangsa Maju
  • Saya, isteri dan anak-anak sekeluarga mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA - GONG XI FA CAI - yang jatuh pada 14 Februari 2010 iaitu hari Ahad ini. Semoga hari besar ini membawa kebahagiaan, keriangan dan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia lantaran ia adalah sebahagian dari 1 MALAYSIA.

JUARA RAKYAT WANGSA MAJU

  • Program JUARA RAKYAT peringkat UMNO Bahagian Wangsa Maju telah di adakan pada 6hb. Februari 2010 di Sekolah Rendah Kebangsaan Wangsa Jaya di Seksyen 4 Wangsa Maju. Tetamu kehormat adalah YBM Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar.
  • JUARA RAKYAT WANGSA MAJU ini bertemakan BULAN PENDIDIKAN dan intipatinya adalah penganugerahan Sijil Anugerah Cemerlang kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan 5A dan ke atas dalam UPSR dan cemerlang dalam PMR dalam tahun 2009 dari sekolah-sekolah seluruh Wangsa Maju.
  • Saya dan seluruh jawatankuasa penganjur mengucapkan ribuan terim kasih kepada YBM Dato' Raja Nong Chik yang sudi merasmi dan menyampaikan anugerah. Tidak ketinggalan juga kepada Dato Haji Mohd Idris Mohd Isa, Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan yang turut hadir. Yayasan Wilayah Persekutuan adalah menyumbang utama kepada program ini.
  • Sek. Ren.(K) Wangsa Jaya dipilih dalam program ini sebagai tuan rumah adalah lantaran kecemerlangannya melahirkan 48 orang pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR iaitu sekolah yang paling banyak pelajarnya mendapat straight A di Wangsa Maju. Terima kasih saya ucapkan kepada Guru Besarnya yang telah bersetuju menjadi tuan rumah untuk JUARA RAKYAT ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan Pengetua, guru-guru Besar, guru-guru dan semua pelajar yang telah datang memeriahkan program tersebut.

...........1880 KUALA LUMPUR DI ISYTIHARKAN SEBAGAI IBU NEGERI SELANGOR - Mengimbas Sejarah Kuala Lumpur Bahagian 2

  • 3hb. Februari 2010, Wangsa Maju- SEMPENA ULANGTAHUN WILAYAH PERSEKUTUAN
  • Kepesatan perlombongan di Kuala Lumpur telah mencetuskan perang saudara di Selangor di kalangan kerabat Selangor ekoran perebutan kuasa mengutip cukai. Para pelombong Cina juga terlibat dalam perang ini apabila dua puak yang bertentangan iaitu Kapitan Yah Ah Loy dan Chong Chong yang mahu menjadi Kapitan turut bertelagah antara satu sama lain.
  • Tengku Kudin di bantu oleh Yap Ah Loy telah menang dalam perang saudara tersebut dan sebagai membalas jasanya Yah Ah Loy telah diberikan hak untuk membangunkan Kuala Lumpur yang telah hancur semasa perang saudara sehingga ia menjadi bandar yang terbesar di Selangor.
  • Pada tahun 1880 Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai ibu negeri Selangor dan sejak itu Kuala Lumpur berkembang menjadi pusat perdagangan di Selangor.

  • Pada tahun 1881 berlakulah kebakaran besar di Kuala Lumpur. Kapitan Yap telah mengambil inisiatif untuk menggantikan bangunan-bangunan kayu beratap rumbia yang hangus terbakar dengan bangunan dari batu-bata, jubin dan atap genting dan sebahagian strukturnya masih ada di Jln Tunku Abdul Rahman, Jalan Chow Kit dan beberapa jalan lain.

  • Kepesatan kemajuan Kuala Lumpur juga mempunyai gejala negatifnya apabila wujud kumpulan kongsi gelap yang menjalankan aktiviti pelacuran, pemerasan, penyeludupan dan banyak lagi dan sering kali juga berlakunya pergaduhan di kalangan samseng-samseng ini.

  • Kegagalan Kapitan Yap menangani gejala jenayah di Kuala Lumpur menyaksikan Sir Frank Sweetenham yang di lantik sebagai Residen British di Selangor memainkan peranan utama dalam hal ehwal Kuala Lumpur. Beliau telah mewujudkan sistem perundangan, keselamatan dan pentadbiran di Kuala Lumpur dan terhapuslah sistem kapitan di Selangor.
  • Di bawah pentadbiran Swettenham Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar yang aman dan makmur. Apabila negeri-negeri di bawah naungan British di gabungkan sebagai Negeri-negeri Bersekutu, Swenttenham telah dilantik sebagai pentabir utama dan beliau pada tahun 1896 telah menjadikan Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Negeri-negeri Bersekutu.

.

. . . . . . . .SEMPENA HARI WILAYAH PERSEKUTUAN: MENGIMBAS SEJARAH KUALA LUMPUR - bahagian 1

  • 2 Februari 2010, Wangsa Maju
  • Meskipun saya di lahirkan di Pekan dan bersekolah di sana, namun sebahagian besar hidup saya terutamanya kehidupan bekerja saya adalah di Kuala Lumpur. Justeru itu saya adalah warga kota yang mengabadikan kehidupan di sini.
  • Sempena Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh semalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaparkan sejarah Kuala Lumpur yang saya sunting dari salah satu eksiklopedia maya untuk makluman pembaca budiman.

  • Kuala Lumpur dibina pada 1857 di pertembungan Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Pertembungan dua sungai ini menjadikan kawasan ini penuh dengan lumpur, lantas ia pun di namakan Kampong Lumpur.
  • Kependudukannya bermula apabila seorang Kerabat di Raja Selangor, Raja Abdullah, membuka lombong bijih timah di Lembah Kelang. 87 pencari gali Cina telah pergi ke sungai Klang dan memulakan prospek di daerah Ampang, yang pada masa itu kawasan hutan belantara.
  • Walaupun 69 dari mereka mati kerana penyakit wabak namun ia tidak menghalang perkembangan aktiviti pelombongan biji timah di sana. Ini menarik perhatian para saudagar untuk membekalkan keperluan asas dan peralatan untuk pelombong-pelombong sebagai tukaran kepada sebahagian dari biji timah. Para saudagar kemudiannya membina kedai di kuala sungai Klang dan Gombak. Ekoran dari itu lahirlah sebuah bandar. Sejarah Kuala Lumpur juga amat berkait rapat dengan Haji Abdullah Hukum (sehingga kini masih ada Kg. Abdullah Hukum di Bangsar) yang merupakan salah seorang pendekar Selangor ketika itu yang mula-mula membuka penempatan orang-orang Melayu.

  • Semasa pengaruh Inggeris masuk ke Selangor mereka telah melantik Kapitan iaitu ketua kaum Cina untuk mentadbirkan undang-undang dan peraturan di kawasan-kawasan pelombongan.
  • Kapitan Cina yang pertama itu adalah Hiu Siew. Kapitan Cina yang ketiga adalah Yap Ah Loy yang memainkan peranan membesarkan Kuala Lumpur dari pekan lombong kecil yang sunyi menjadi bandar terunggul di Selangor.
  • Sebagai warga negara kita hendaklah maklum dengan sejarah Kuala Lumpur. Kerana di Kuala Lumpurlah bibit-bibit 1MALAYSIA itu berakar tunjang. Orang Melayu membuka Kuala Lumpur manakala orang Cina membangunkan Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian orang India pula di bawa masuk untuk memajukan ladang-ladang getah di Kuala Lumpur. Justeru itu Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara Malaysia yang kita cintai hakikatnya lahir dari titik peluh kaum Melayu, Cina dan India yang kini gah sebagai bandar metropolitan yang canggih dan terkenal. Kita perlu meneruskan usaha yang disemai oleh nenek moyang kita dan membajanya dengan semangat 1 MALAYSIA agar Kuala Lumpur terus maju dan makmur.