WAJARKAN CHIN PENG DIBENARKAN MENJEJAK TANAH MALAYSIA

ISU berkaitan Chin Peng bukanlah perkara yang baru dibangkitkan kerana ia telah acapkali digunakan sebagai antara agenda para pembangkang dalam cubaan membakar perpaduan yang selama ini tersimpul rapi di kalangan rakyat.

Minggu lalu, nama Chin Peng di sebut lagi oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan hujah kewajaran Kerajaan Pusat untuk memberikan permohonan maaf kepada individu terbabit lantas membawanya kembali ke tanah air.

Namun demikian, ketegasan kerajaan dalam membuat keputusan tidak pernah goyah untuk tidak membenarkan Chin Peng kembali apatah lagi ia mengambil kira bukan hanya kepentingan awam malah kesejahteraan negara yang selama ini terpelihara juga akan turut terpalit sama.

Tidak kiralah sama ada perubahan masa dan zaman yang berlalu, nama Chin Peng pastinya tidak luput dari sejarah apatah lagi ingatan masyarakat yang masih ada semasa komunis bermaharaja.

Chin Peng adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang turut sama terlibat secara langsung mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA dengan beberapa pertubuhan seperti Min Yuen, MRL dan sebagainya.

Perlu difahami bahawa penularan fahaman komunisme ini adalah berlangsung daripada perjuangan untuk membebaskan tanah air dari kuasa penjajah iaitu PKM adalah untuk menghalau British keluar dari Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis.

Namun demikian, tindakan yang diambil adalah lebih cenderung kepada pertumpahan darah dan kekerasan yang sememangnya amat bertentangan dengan budaya dan amalan yang dilakukan oleh masyarakat Tanah Melayu ketika itu.

Pergerakan penubuhan PKM untuk membebaskan Tanah Melayu dan mencapai kemerdekaan, lantas semasa pemerintahan Jepun PKM melalui MPAJA telah menentang Jepun.

Bagaimanapun, selepas Jepun menyerah kalah, PKM bertindak dengan beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, tindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga berlaku yang mengorbankan banyak nyawa.

Dalam pada itu, terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 menjadi penamat kepada PKM kerana penglibatan mereka telah diketepikan oleh British.

Lantaran itu, PKM telah menukar strategi dan mula mencetuskan keganasan melalui mogok dan rusuhan. Ekoran tindak balas tersebut, British mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, iaitu sebagai jalan bagi melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.

Tindakan bersenjata pihak komunis Bintang Tiga telah melibatkan beberapa siri serangan berdarah termasuklah insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak.

Tujuan utama PKM melancarkan gerakan bersenjata adalah untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan mendirikan sebuah Kerajaan Republik Komunis melalui pemberontakan bersenjata.

Chin Peng juga mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen Ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya – TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.

Akibat daripada ketidakselamtan yang berpunca dari keganasan komunis ini telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent pada 12 Julai 1948 ke seluruh negara.

PKM telah diharamkan pada 23 Julai 1948, lantas seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang komunis.

Namun demikian, atas kepentingan bersama dan kesejahteraan masa hadapan, pada 9 September 1955 Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai kepada Komunis.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin PKM, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Sokongan besar rakyat kepada Perikatan dan pilihan raya 1955 memberi kesan positif atas kesinambungan perjuangan bangsa dan menutup peluang PKM berkuasa.

PKM telah menulis surat kepada Tunku untuk berunding. Pihak Kerajaan diwakili oleh Tunku, Tan Cheng Lok dan David Marshall (Ketua Menteri Singapura) manakala PKM diwakili oleh Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Namun demikian, rundingan yang dikenali sebagai Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1955 ini menemui kegagalan kerana Kerajaan menolak desakan PKM supaya diiktiraf sebagai parti yang sah dan Chin Peng enggan menerima syarat-syarat Kerajaan supaya membubarkan PKM dan menerima tawaran pengampunan.

Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa PKM bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British.

Dengan gerakan bersenjata komunis sebelumnya, dikatakan kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehinggalah mereka meletakkan senjata pada 1989.

Dalam hal ini, Kerajaan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu.

Tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat jerangkap samar yang dipasang oleh gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng dan konco-konconya dari Rejimen Ke-10 yang berselindung di sebalik nama Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Sesungguhnya, tujuan utama pemimpin PKM adalah untuk mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.

Lantas, sebagai memahami aspirasi negara, dan pejuang yang telah gugur ekoran tindakan komunis, wajarkah memaafkan individu yang terlalu banyak angkara khianat telah dipalitkannya terhadap negara ini?