- 2 Februari 2010, Wangsa Maju
- Meskipun saya di lahirkan di Pekan dan bersekolah di sana, namun sebahagian besar hidup saya terutamanya kehidupan bekerja saya adalah di Kuala Lumpur. Justeru itu saya adalah warga kota yang mengabadikan kehidupan di sini.
- Sempena Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh semalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaparkan sejarah Kuala Lumpur yang saya sunting dari salah satu eksiklopedia maya untuk makluman pembaca budiman.
- Kuala Lumpur dibina pada 1857 di pertembungan Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Pertembungan dua sungai ini menjadikan kawasan ini penuh dengan lumpur, lantas ia pun di namakan Kampong Lumpur.
- Kependudukannya bermula apabila seorang Kerabat di Raja Selangor, Raja Abdullah, membuka lombong bijih timah di Lembah Kelang. 87 pencari gali Cina telah pergi ke sungai Klang dan memulakan prospek di daerah Ampang, yang pada masa itu kawasan hutan belantara.
- Walaupun 69 dari mereka mati kerana penyakit wabak namun ia tidak menghalang perkembangan aktiviti pelombongan biji timah di sana. Ini menarik perhatian para saudagar untuk membekalkan keperluan asas dan peralatan untuk pelombong-pelombong sebagai tukaran kepada sebahagian dari biji timah. Para saudagar kemudiannya membina kedai di kuala sungai Klang dan Gombak. Ekoran dari itu lahirlah sebuah bandar. Sejarah Kuala Lumpur juga amat berkait rapat dengan Haji Abdullah Hukum (sehingga kini masih ada Kg. Abdullah Hukum di Bangsar) yang merupakan salah seorang pendekar Selangor ketika itu yang mula-mula membuka penempatan orang-orang Melayu.
- Semasa pengaruh Inggeris masuk ke Selangor mereka telah melantik Kapitan iaitu ketua kaum Cina untuk mentadbirkan undang-undang dan peraturan di kawasan-kawasan pelombongan.
- Kapitan Cina yang pertama itu adalah Hiu Siew. Kapitan Cina yang ketiga adalah Yap Ah Loy yang memainkan peranan membesarkan Kuala Lumpur dari pekan lombong kecil yang sunyi menjadi bandar terunggul di Selangor.
- Sebagai warga negara kita hendaklah maklum dengan sejarah Kuala Lumpur. Kerana di Kuala Lumpurlah bibit-bibit 1MALAYSIA itu berakar tunjang. Orang Melayu membuka Kuala Lumpur manakala orang Cina membangunkan Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian orang India pula di bawa masuk untuk memajukan ladang-ladang getah di Kuala Lumpur. Justeru itu Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara Malaysia yang kita cintai hakikatnya lahir dari titik peluh kaum Melayu, Cina dan India yang kini gah sebagai bandar metropolitan yang canggih dan terkenal. Kita perlu meneruskan usaha yang disemai oleh nenek moyang kita dan membajanya dengan semangat 1 MALAYSIA agar Kuala Lumpur terus maju dan makmur.